Muhammad al-Ghazali, mujaddid dan peribadi Muslim sebenar

Dunia Hagnas 19-Okt-2020
islamiclandmarks.compalestine-masjid-al-aqsaresidence-of-imam-al-ghazali
Rumah al-Ghazali di Masjid al-Aqsa, Palestin © islamiclandmarks.com

Abu Hamid Muhammad al-Ghazali merupakan salah seorang daripada ahli teologi yang terkemuka, ahli fiqah, dan guru yang mengembangkan pemikiran Asha’irah (Ashaari) dan mengasaskan fahaman Sufisme.

Pandangan-pandangan beliau menjadi rujukan sistem falsafah sekarang dan sekolah-sekolah aliran ini. Hasil penulisannya mengandungi pemikiran-pemikiran Islam moden. Beberapa cendikiawan Islam seperti pakar hadis dan ahli fiqah, contohnya al-Suyuti dan al-Nawawi, menggelar beliau sebagai mujaddid bagi abad ke-5 Hijrah.

Mujaddid bagi abad ke-5 Hijrah

Mujaddid ialah orang yang menghidupkan kembali ajaran sunah Rasulullah SAW yg hampir luput atau yang menyimpang akibat perbuatan bidaah. Ia biasanya akan muncul dalam kalangan ummah seorang setiap seratus tahun untuk memperbaharui usaha menegakkan Islam.

Imam al-Ghazali dilahirkan pada 1058 Masehi di Khorasan (timur Iraq dan Afghanistan), sewaktu tentera Suljuk (Turki) yang asasnya di Khorasan merampas kekuasaan Khalifah dan memulakan empayar di sini. Ayah Imam Al-Ghazali bekerja sebagai penenun kain dari bulu biru-biri.

Ayahnya meninggal dunia dan meninggalkan al-Ghazali dan adiknya di bawah didikan kawannya. Apabila harta warisan telah habis maka adik beradik ini terpaksa berikhtiar mencari wang untuk menampung perbelanjaan harian. Pada waktu inilah, kawan ayahnya mencadangkan mereka memasuki madrasah dan menggunakan wang biasiswa untuk meneruskan kehidupan.

Belajar merupakan perkara yang mudah bagi Muhammad Al-Ghazali kerana kecerdasan akalnya. Selepas belajar di madrasah, beliau meneruskan pembelajaran mengenai Quran dan Feqah di Gorgon dan Nishapur (sekolah terkemuka di Iran).

Di Nishapur, beliau menuntut ilmu dengan ulama yang terkenal seperti Imam al-Juwayni dan beberapa ulama lain dalam bidang perundangan dan ilmu hadis. Tidak lama kemudian, Perdana Menteri Seljuk pada ketika itu iaitu Nizam al-Mulk (yang menubuhkan Madrasah Nizamiyyah di Baghdad) telah mengenal pasti bakat Imam al-Ghazali. Beliau telah menawarkan al-Ghazali untuk menjadi Ketua Pengajar di situ.

Menjadi ketua pengajar kepada 300 pelajar yang menuntut ilmu menjadikan Imam al-Ghazali terkenal. Walau bagaimanapun, pada 1092, Perdana Menteri Nizam al-Mulk telah dibunuh oleh pembunuh upahan. Imam al-Ghazali terus meninggalkan Baghdad.

Mencapai keredaan Allah SWT, contoh peribadi Muslim sebenar

Pada waktu yang lain, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa keputusan meninggalkan Baghdad adalah disebabkan keperluan untuk melawan hawa nafsunya. Langkah ini memperjelaskan lagi pegangan Imam al-Ghazali bahawa seorang Muslim yang sebenar tidak harus menumpukan seluruh tenaganya untuk memperolehi dunia.

Sebaliknya, seorang Muslim sepatutnya fokus untuk mencapai keredaan Allah SWT, hidup secara bersederhana dan berterusan menyampaikan ilmu. Nilai-nilai ini menjadi asas kefahaman Sufisme. Meninggalkan Baghdad merupakan satu cara melawan hawa nafsu. Jihad bukan sahaja jihad di medan perang tetapi juga jihad melawan hawa nafsu.

Minat yang mendalam terhadap al-Quran dan hadis menjadikan Imam al-Ghazali penyokong ilmu falsafah (Kalam) aliran Asha’irah. Beliau merupakan orang yang gemar berdebat dengan aliran falsafah lain yang wujud pada ketika itu yang mana kebanyakan mereka bersumberkan falsafah Yunani (Aristotle).

Antara karya penting Imam al-Ghazali ialah Ihya’ Ulumuddin. Antara intipati penulisannya ialah bagaimana langkah-langkah yang patut diambil untuk menjadi Muslim yang sebenar bermula dari ibadah, adat, dan berakhir dengan nilai moral (akhlak) yang mengandungi kesabaran, cinta, usaha menuntut ilmu, dan lain-lain.

Pengaruh Imam al-Ghazali bukan hanya dalam kalangan ahli falsafah Arab, malah juga dalam kalangan ahli falsafah Eropah. Banyak hasil karya beliau diterjemah ke Bahasa Latin dan sangat terkenal di Eropah. Beliau juga merupakan contoh peribadi Muslim yang sebenar.