Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Muhasabah diri sebelum kehadiran tahun 2021

Doa 30 Dis 2020
Pilihan oleh Tari Basir
Muhasabah diri sebelum kehadiran tahun 2021
Muhasabah diri sebelum kehadiran tahun 2021 © Jaggat ... | Dreamstime.com

Hanya tinggal sehari lagi sebelum tahun 2020 ini berakhir dan seluruh umat manusia akan memasuki tahun baharu 2021. Begitu cepat masa berlalu, ketika mana tidak banyak memori indah yang boleh dikenang sepanjang tahun 2020 ini disebabkan bala virus COVIS-19 yang datang menimpa.

Tahun 2020 ini merupakan tahun yang sarat dengan cabaran dan dugaan. Seluruh umat manusia diuji dengan pelbagai tusukan onak dan duri. Setiap daripada mereka merasai tempias pandemik ini, sama ada setitik mahupun ombak badai yang melanda kehidupan mereka.

Meskipun tidak banyak memori yang boleh dikenang sepanjang tahun ini, namun muhasabah diri perlulah dibuat sebagai persediaan untuk memasuki tahun baharu. Sebagai seorang Muslim, muhasabah diri membantu mereka untuk melangkah masuk ke tahun baharu dengan persediaan yang rapi lagi jitu.

Apakah itu muhasabah diri?

Dalam Bahasa Arab, perkataan muhasabah berasal daripada perkataan haasaba, yang boleh membawa pelbagai maksud seiring dengan konteks penggunaannya. Antaranya bermaksud ‘membicarakan mengenai amalan hitungan’ atau ‘memberi balasan atas perbuatan seseorang’. Manakala perkataan muhasabah pula bermaksud ‘mengira semula hitungan’ (Al-Mu’jam Al-‘Arabi Al-Asasi).

Oleh itu, sesuai dengan terminologi asal, dapatlah disimpulkan bahawa perbuatan bermuhasabah diri ini sebenarnya ialah suatu amalan merefleksi perbuatan terdahulu agar perbuatan baik dapat diteruskan dan perbuatan buruk boleh ditinggalkan.

Amalan refleksi perbuatan terdahulu ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam al-Quran, surah al-Hasyr, ayat ke-18:

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Amalan refleksi perbuatan terdahulu ini sebenarnya membantu Muslim untuk mengenal pasti perbuatan yang baik dalam kehidupan mereka, agar ia dapat diteruskan dalam waktu yang kemudian. Malahan, amalan ini mampu memisahkan perbuatan yang buruk daripada kehidupan mereka, sehingga ia dapat ditinggalkan.

Kegagalan merefleksi perbuatan terdahulu bakal menyebabkan seseorang Muslim itu mengulang kembali perbuatan buruk yang telah dilakukannya dahulu. Sebagaimana kecaman Allah SWT terhadap orang munafik yang terkandung dalam al-Quran, surah at-Taubah ayat 126:

“Dan tidakkah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahwa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?”

Muhasabah diri tidak semestinya berkenaan amalan akhirat

Meskipun terminologi muhasabah diri sering kali dikaitkan dengan amalan ukhrawi, namun hakikatnya ia juga berguna dalam merefleksi amalan duniawi.

Sebagai contoh, perbuatan muhasabah diri mampu membantu seseorang Muslim itu menguruskan kewangannya dengan baik. Dirinya sudah mengetahui berapakah sebenarnya jumlah yang diperlukan dalam menguruskan keperluan berbanding kehendak dirinya.

Dalam tahun 2020 ini yang dipenuhi pelbagai hikmah dan ibrah untuk umat manusia, seorang Muslim seharusnya mengambil peluang untuk bermuhasabah diri dalam kedua-dua amalan, duniawi dan ukhrawi.

Apakah perbuatan baik dalam tahun 2020 ini yang boleh diteruskan ke tahun 2021? Apakah perbuatan buruk yang boleh ditinggalkan? Itulah antara perkara yang boleh dimuhasabahkan, sama ada berkaitan dengan amalan duniawi apatah lagi ukhrawi.

Oleh itu, mulalah bermuhasabah diri sebelum tahun 2020 ini melabuhkan tirainya, agar tidak terpijak tirai tahun 2021 yang labuh.

Saidina Umar Al-Khattab r.a pernah berkata:

“Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab, itu akan memudahkan hisab kalian kelak. Timbanglah amal kalian sebelum ditimbang kelak. Ingatlah keadaan yang genting pada hari kiamat.”