Muhasabah Rejab: Jauhi sifat yang mufliskan pahala amalan

Acara 02 Mac 2021 Siti Nur Baiin Che Harun
Siti Nur Baiin Che Harun
Muhasabah Rejab: Jauhi sifat yang mufliskan pahala amalan
Muhasabah Rejab: Jauhi sifat yang mufliskan pahala amalan © Serezniy | Dreamstime.com

Bulan Rejab 1443 Hijrah sudah pun memasuki separuh bulan. Ini bermakna bulan Ramadan al-Kareem yang dinanti-nantikan akan tiba tidak lama lagi. Persiapan dan momentum menuju bulan mulia ini akan menjadi tarbiyah dan latihan kepada kualiti amal ibadah seharian kita.

Mari sama-sama muhasabah dan membuat penilaian yang mendalam ke atas diri dari semua aspek. Ia sangat penting dalam memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik dan mengambil inisiatif penghijrahan secara fizikal dan spiritual.

Muhasabah Rejab: Jauhi sifat yang mufliskan pahala amalan

Seiring usaha mengukuhkan saham dan janaan ukhrawi, kita bukan sahaja perlu memperbaiki amalan makruf, malah mencegah diri dari melakukan sifat-sifat mazmumah (tercela) juga sangat dituntut.

Dari Imam Al-Ghazali, antara sifat mazmumah ialah gemar makan dan minum, banyak berkata yang sia-sia, sifat amarah, kasih pada harta dan dunia, dan penyakit hati seperti hasad, dengki, iri hati, takbur, riyak, dan ujub.

Gemar makan dan minum

Amalkan adab dan sunah makan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Berwaspadalah dalam mengambil kuantiti pemakanan harian kita. Ini kerana, makan dan minum berlebihan boleh memudaratkan dan ia bersangkutan dengan kualiti ibadah kita.

Nabi Muhammad SAW bersabda, “Yang terlebih afdal (utama) pada Allah itu ialah orang yang banyak berlapar dan banyak tafakur iaitu berfikir sambil meneliti. Dan terlebih benci kepada Allah itu ialah orang yang banyak makan, dan banyak minum.”

Persiapan ini penting bagi melatih diri menjalani ibadah puasa di bulan Ramadaan al-Mubarak nanti.

Banyak berkata yang sia-sia

Selain itu, Nabi Muhammad SAW mengingatkan agar meninggalkan perkataan dan perbuatan sia-sia, supaya hidup selamat dunia dan akhirat.

Terdapat banyak hadis membawa peringatan kepada percakapan kosong yang tidak mendatangkan sebarang manfaat apatah lagi menyakiti hati sesama kita. Elakkan bencana lisan seperti mengumpat, menghina, berdusta dan bertengkar.

Perbanyakkan ucapan yang menganjur kepada berbuat kebaikan seperti galakan untuk memberi sedekah dan mengadakan perdamaian di antara manusia seperti yang dinyatakan dalam Surah An-Nisa’, ayat 114.

Sifat amarah

Tidak dinafikan, apabila berada dalam keadaan tertekan atau diuji, perasaan yang paling hampir adalah amarah. Menahan nafsu amarah merupakan sifat terpuji dan sangat dituntut dan dijamin syurga.

Datuk Dr. Norhafizah Musa seorang personaliti dakwah ada berkongsi mengenai nafsu amarah, ‘Tika mana seseorang itu sedang marah, maka dia berada di bawah pengaruh syaitan.’

“Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwuduk.”

(Sunan Abi Daud, 4784)

Kasih pada harta dan dunia

Al-Fadhil Ustaz Wadi Anuar menyebut dalam kuliahnya, ‘Tidak salah untuk menjadi kaya, tidak salah memiliki harta dan kemewahan hidup. Tetapi, semak dan buatlah inspeksi pada diri dan keluarga.’

Adakah kita tergolong dalam golongan yang kasih pada harta dan dunia? Jika segala kemewahan yang dimiliki di dunia ini membawa kepada sifat bakhil, tamak haloba, megah, mendabik dada dan juga membazir, ketahuilah bahawa ia amat dibenci oleh Islam.

Sabda Rasulullah SAW:

“Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu.”

(Hadis riwayat al-Hakim)

Penyakit hati (hasad, dengki, dan lain-lain)

Dalam meneruskan ketidaktentuan kehidupan ini, ruang untuk membuat audit diri perlu didahulukan. Perlu diingat, penyakit hati boleh menjurus muflis atau miskin akhirat. Tamsilnya, perasaan hasad, dengki, dan iri hati.

Abu Hurairah r.a berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Hasad itu memakan (memusnahkan) kebajikan, sebagaimana api memakan membakar kayu.”

(Sunan Abi Daud, 4257; Kitab Adab)

Jauhkan diri dari sifat takbur, riyak dan ujub. Sifat ini wujud apabila seseorang itu riyak mempertontonkan keindahan atau kelebihan dari segi fizikal, intelektual, ucapan narsisistik atau perlakuan.

Sebagai intiha, bagi menghindari sifat-sifat mazmumah di bulan Rejab ini, amalan sifat tawaduk atau rendah diri perlu dipraktikkan dalam apa jua urusan seharian. Selalulah membasahi lidah dengan ucapan syukur dan tahmid ke hadrat Allah SWT. Jadikan ia satu pedoman yang dipandu oleh iman tuntasnya bersulamkan takwa.