Mukjizat sejarah: Bukti keagungan al-Quran

Al-Quran Aimy Azhary
Pilihan oleh Aimy Azhary
Mukjizat sejarah: Bukti keagungan al-Quran
Mukjizat sejarah: Bukti keagungan al-Quran © Sa83lim | Dreamstime.com

Al-Quran bukan sahaja mengandungi hukum dan praktis ibadah, bahkan disisip dengan  fakta-fakta dan mukjizat sejarah. Walaupun begitu, al-Quran tidaklah seperti buku-buku sejarah biasa yang hanya sarat dengan tarikh dan nombor yang membosankan.

Hal ini disebabkan oleh pengolahan peristiwa al-Quran bermatlamatkan bimbingan dan panduan buat manusia yang mencari hidayah dan kebenaran. Ia menjadikan al-Quran sentiasa segar untuk dibaca dan seronok untuk dikaji.

Mukjizat sejarah al-Quran

Di dalam seni ilmu ‘Ulum al-Quran, mukjizat sejarah ini dikenali sebagai ‘Al-I’jaz At-Tarikhi’. Secara ringkas, ia bermaksud kandungan al-Quran yang menceritakan tentang sejarah dan peristiwa yang mendahului penurunan al-Quran sehingga melebihi puluhan ribu tahun lamanya.

Hal ini sangat mustahak kerana ia merupakan bukti yang jelas akan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Secara logik, mana mungkin seorang Arab yang buta huruf mampu mengetahui perihal dan fakta sejarah yang terkadang hanya diketahui oleh cendekiawan dan ilmuwan bani Israel ketika itu.

Bukti ini menjadikan golongan pembesar musyrikin Mekah mati akal dalam menafikan kebenaran yang dibawa Baginda. Ia juga merupakan signal bahawasanya al-Quran mencabar keabsahan agama-agama samawi sebelum Islam yang telah diselewengkan.

Contoh mukjizat sejarah

Antara ayat yang membuktikan mukjizat sejarah al-Quran ialah kisah Nabi Nuh a.s yang berdakwah selama 950 tahun dan disebutkan secara jelas di dalam al-Quran. Kisah kecekalan Nabi Nuh serta usaha-usaha jahat yang dilakukan oleh kaumnya dititip dengan penuh teliti supaya manusia mengambil pengajaran sebaiknya.

Allah SWT menyimpulkan peristiwa-peristiwa tersebut dalam firman-Nya:

“(Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah Hud, ayat 49)

Selain itu, terdapat juga kisah pertembungan antara Firaun dan Nabi Musa a.s. Al-Quran malah menukilkan peristiwa-peristiwa berkaitan dakwah Baginda kepada bani Israel setelah mereka keluar dari bumi Mesir.

Sebagai contoh, peristiwa penenggelaman Firaun dan pengikutnya diabadikan di dalam firman Allah Taala:

“Dan ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 50)

Al-Quran mendahului penemuan sejarah

Selain daripada fakta-fakta sejarah terdahulu, terdapat juga penemuan-penemuan saintifik moden yang membenarkan kandungan al-Quran. Contohnya, seperti firman Allah SWT:

“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”

(Surah Yunus, ayat 92)

Seorang saintis dan pakar bedah Perancis, Prof. Maurice Bucaille membenarkan ayat ini dengan mengesahkan bahawasanya Firaun Ramses II telah ditenggelamkan di dalam laut berdasarkan tanda-tanda yang terdapat pada tubuh mumia tersebut. Beliau merupakan antara ahli akademik yang terkenal dengan usaha mengaitkan sains dengan sumber agama terutamanya agama Islam.

Kandungan sejarah dan penemuan-penemuan ini pastinya menjadikan kita semakin kuat dan tetap pendirian akan benarnya agama ini. Semoga ia diikuti  semangat untuk memperbanyakkan jasa kepada umat Islam yang hauskan ilmu dan bimbingan.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.