Mulut saja kata nak solat khusyuk, tapi tiada usaha!

Solat 23 Mac 2021 Siti Nur Baiin Che Harun
Siti Nur Baiin Che Harun
Mulut saja kata nak solat khusyuk, tapi tiada usaha!
Mulut saja kata nak solat khusyuk, tapi tiada usaha! © Nanausop | Dreamstime.com

Artikel ‘Mulut Saja Kata Nak Solat Khusyuk, Tapi Tiada Usaha’ ini membicarakan tentang cara dan amalan yang mesti diambil cakna dalam solat kita. Tujuan utamanya adalah sudah pasti agar kita mendapat solat yang khusyuk.

Usaha ini sangat perlu diperbaiki bagi meningkatkan nilai mutu solat agar menjadi lebih sempurna. Jangan jadi golongan yang tiada usaha untuk solat khusyuk.

Solat yang khusyuk memerlukan usaha

Khusyuk berdasarkan pakar bahasa Ibnu Faris Rahimahullah:

“Khusyuk adalah terdiri dari tiga huruf dasar iaitu kha’, syin dan ‘ain adalah satu sumber, yang menunjukkan kepada makna tunduk atau merendah.”

(Lihat ‘Mu’jam Maqaayiis al-Lughah’, 316)

Dari Ibnu ‘Abbas r.a, khusyuk ialah tenang dan merendahkan diri. Manakala bagi Saidina Ali r.a, khusyuk merujuk kepada tidak menoleh ke kanan dan tidak pula ke kiri.

Jika sesorang itu benar-benar mengambil berat tentang kualiti solat hariannya, mereka akan berusaha menjaganya bermula dari penjagaan makanan, pertuturan, gaya hidup seharian dan cara untuk mendirikan solat yang khusyuk dengan sebaiknya.

Ringan sekali di mulut kita ucapkan ‘saya nak solat dengan khusyuk’ tetapi adakah kita berusaha ke arah itu?

Allah Taala berfirman:

“Maka kecelakaan besar bagi orang yang bersolat iaitu mereka yang lalai daripada menyempurnakan solat mereka (serta) orang yang riak (menunjuk-nunjuk dalam ibadatnya).”

(Surah al-Ma’un, ayat 4-5)

Allah SWT berfirman yang maksudnya:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”

(Surah al-Mu’minun: 1-2)

Usaha dan amalan solat yang khusyuk

Antara usaha dan amalan seharian yang mempengaruhi kekhusyukan solat kita adalah seperti berikut:

Penjagaan makan dan minum mempengaruhi kualiti solat

Penjagaan dalam hal pengambilan makanan dan minuman sangat mempengaruhi kualiti dan kekhusyukan solat. Ramai yang ambil enteng hal ini kerana kita tidak lihat kesannya secara zahir.

Jika benar kita bersunguh-sungguh ingin menjaga solat dan berusaha untuk menghadirkan khusyuk, faktor utama yang sangat perlu kita dititiberatkan adalah hal penjagaan makan dan minum. Ini kerana makanan yang baik lagi halal akan mampu menjaga hati dalam solat.

Jaga pandangan dan jaga lidah

Orang yang menjaga pandangan dari memandang yang haram dan memelihara lidahnya dari berkata keji akan dikurniakan kemanisan dalam setiap ibadah yang didirikan terutama solatnya.

Ini kerana, terdapat perkaitan spiritual antara mata, lidah dan jiwa kita. Kesan tidak menjaga pandangan dan lidah menyebabkan hati kita menjadi keras.

Elakkan berbicara perkara yang sia-sia

Berdasarkan pendapat Imam Syafi’e, berbicara perkara yang sia-sia merupakan salah satu dari sifat mazmumah (tercela). Jadi, apakah kaitan solat dan berbicara sesuatu yang sia-sia?

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah.”

Saidina Hassan r.a berkata:

“Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk.”

Ambil masa untuk berzikir sebelum memulakan solat

Berzikir dahulu sebelum memulakan solat supaya kita dapat mengambil momentum ketenangan sebelum menunaikan solat. Ini bagi mengelakkan solat kita terganggu dengan urusan dunia yang tidak pernah selesai.

Perlahankan gerakan solat dengan tenang (Tamakninah)

Solatlah dengan penuh adab. Solat mesti ada toma’ninah (tamakninah).

Toma’ninah ialah diam (berhenti sekejap) setelah bergerak, iaitu dengan tetapnya anggota-anggota sujud pada tempatnya dengan kadar ‘Subhana Allah’, iaitu pada kadar menyebutnya. (Rujuk Kasyifah al-Saja Syarh Safinat al-Naja: 71; Syeikh al-Nawawi al-Jawi)

Langkah tambahan membentuk khusyuk

Selain itu, berikut adalah langkah dan usaha yang perlu diambil secara lahiriah dan batiniah untuk mendapatkan khusyuk.

  • Memastikan mengambil wuduk dengan sempurna
  • Membaca Surah An-Nas dan Isti’azah
  • Cuba untuk tidak membaca surah yang sama
  • Memahami, mencari pengertian dan menghayati bacaan dalam solat
  • Beri perhatian kepada apa yang dibacakan
  • Memusatkan fikiran supaya lebih fokus

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak pernah merasa puas, dan dari doa yang tidak terkabulkan. Ya Allah, berikanlah kepadaku jiwa yang takwa lagi bersih. Sebab Engkau-lah sebaik-baik yang membersihkan jiwa dan yang menguasai serta yang mengarahkannya.”

(Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, Nasa’i, dan Tirmidzi)