Murid sekolah dan cabaran mematuhi SOP

Kehidupan Chan Abdullah 24-Ogo-2020
Sekolah dan SOP COVID-19 © MOHD AZAMI SARJU | Dreamstime.com

Sesi persekolahan yang dibuka secara berperingkat mulai pertengahan bulan lepas telah memulakan norma baharu di sekolah. Pembukaan semula sekolah memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan berjaya dipatuhi.

Walaupun terdapat pelbagai pendapat, usaha Kementerian Pendidikan membuka semula sekolah sehaarusnya disambut dengan baik. Ini bagi memastikan supaya murid-murid yang tinggal di kawasan pedalaman dan tiada capaian internet serta jalur lebar tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Namun tidak dapat dinafikan sesi pembukaan sekolah ini mendatangkan kerisauan dalam diri ibu bapa. Adakah benar-benar selamat untuk murid-murid kembali ke sekolah? Tanggungjawab memastikan murid-murid mematuhi SOP bujanlah hanya terletak di tangan pihak guru semata-mata.

Ibu bapa khususnya haruslah berusaha mendidik anak-anak dan sentiasa mengingatkan mereka untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Memang mencabar untuk memastikan murid-murid terutamanya murid-murid sekolah rendah mematuhi setiap SOP yang ditetapkan. Sedangkan ramai orang dewasa sendiri di dalam masa yang sama gagal mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa secara terbuka.

Ibu bapa harus berperanan menyediakan kelengkapan yang sepatutnya untuk anak-anak ke sekolah. Bekallan anak-anak dengan pelitup muka serta ingatkan mereka untuk memakainya dengan betul pada setiap masa. Bagi mengurangkan risiko bersentuhan dengan murid-murid yang lain dan bersesak-sesak, para ibu bapa juga digalakkan untuk menyediakan bekala makanan dan minuman untuk anak-anak ke sekolah. Jadi para murid-murid tidak perlu lagi beratur di kantin.

Selain itu ibu bapa juga haruslah menunjukkan contoh dan teladan yang baik dalam mematuhi SOP yang ditetapkan. Melalui pengalaman dan pemerhatian saya sendiri sewaktu menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah, masih ramai ibu bapa yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan. Masih ramai ibu bapa yang tidak memakai pelitup muka yang diwajibkan. Selain itu terdapat juga segelintir ibu bapa yang gagal mematuhi penjarakan sosial yang digariskan dengan berkumpul dalam jarak yang dekat sesama mereka.

Bagi murid-murid yang menaiki van dan bas sekolah, cabaran mematuhi SOP dilihat lebih mencabar. Di sini, pihak pengendali van dan bas sekolah haruslah memainkan peranan penting dalam memastikan segala SOP yang telah ditetapkan dapat dipatuhi.

Pembiasaan norma baharu ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun ianya bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan jika semua pihak dapat bekerjasama bagi memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi.