Muslim dan sains di Zaman Pertengahan

Dunia 10 Dis 2020 Hanita Hassan
Terkini oleh Hanita Hassan
Muslim dan sains di Zaman Pertengahan - matawang Iraq dan ilustrasi Hasan Ibn al-Haytham (Alhazen)
Muslim dan sains di Zaman Pertengahan - matawang Iraq dan ilustrasi Hasan Ibn al-Haytham (Alhazen) © Dreamstime

Muslim dan sains di Zaman Pertengahan yang juga disebut sebagai Zaman Keemasan Islam, adalah era yang merangkumi abad ke-8 hingga ke-14. Era ini adalah salah satu era keunggulan dalam bidang ilmiah, ekonomi, rohani, dan budaya dalam sejarah Islam.

Catatan sejarah menunjukkan bahawa zaman ini dipercayai bermula ketika Khalifah Harun al-Rashid memulakan pemerintahannya.

Muslim dan sains di Zaman Pertengahan

Para sarjana Muslim dunia Islam pada abad pertengahan menguasai dan mempengaruhi dunia sains sehingga satu tahap, penemuan mereka masih sangat relevan digunapakai hingga kini.

Salah satu perkara yang paling mengagumkan mengenai apa yang mereka lakukan ialah sumbangan dan perubahan dalam setiap aspek sains. Ini termasuk bidang perubatan, astronomi, matematik, fizik, biologi, kimia, alkimia, dan botani. Terdapat juga bidang lain seperti oftalmologi, optik, mekanik, geografi, agronomi, kartografi, farmakologi, zoologi, pertanian, dan banyak lagi.

Perkara luar biasa yang dilakukan para sarjana Islam zaman itu adalah mereka tidak hanya bertumpu pada ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi juga melakukannya untuk mempromosi Islam demi kepentingan seluruh umat manusia.

Sebagai contoh, para cendekiawan yang menumpu dalam bidang astronomi turut melakukan penentuan arah kiblat yang tepat.  Para cendekiawan Muslim yang mengkhusus dalam bidang perubatan juga memberi gambaran lengkap lagi komprehensif tentang penyakit seperti campak dan cacar sehingga memperolehi penemuan dalam bentuk terapi baharu dan boleh dikembangkan.

Apabila bercerita tentang para sarjana Muslim pada abad pertengahan, ada kalangan mereka yang benar-benar menonjol dan harus diingati. Lagenda matematik yang cemerlang iaitu Muhammad ibn Musa al-Khwarizmi yang terkenal dengan karya-karya inovatifnya bukan sahaja dalam bidang matematik tetapi juga bidang geografi dan astronomi.

Tokoh-tokoh Islam dan pengetahuan sebagai asas kehidupan

Cendekiawan yang dikagumi dan pengasas dalam banyak bidang. Al-Khwarizmi merupakan orang pertama yang telah memperkenalkan kaedah sistematik   menyelesaikan persamaan kuadratik dan linear.

Karyanya yang terkenal mengenai algebra adalah ‘The Compendious Book on Calculation by Completion and Balancing’ sebuah karya yang sangat baik sehingga dia diangkat sebagai Bapa Algebra.

Selain itu, Hasan Ibn al-Haytham (lebih dikenali sebagai Alhazen) sangat berjaya dalam bidang  fizik, matematik, dan astronomi sehingga dikenali sebagai Bapa Optik Moden.

Alhazen memperoleh gelaran itu ketika dia merevolusi bidang optik dalam karyanya berjudul ‘Kitab al-Manazir’ (bermaksud Buku Optik). Dia menulis karya besarnya ini dalam tempoh 1011 hingga 1021 masehi.  Beliau juga merupakan orang pertama yang menyatakan bahawa pandangan itu tidak berlangsung di mata kasar, tetapi di dalam kepala – Subhanallah.

Seorang lagi sarjana Islam yang wujud ketika zaman itu ialah Abu Hanifah Ahmad bin Dawud Dinawari (lebih dikenali sebagai Al-Dinawari) mengubah ilmu botani. Dia telah menulis buku dengan enam jilid, yang disebut sebagai Kitab al-Nabat (Buku Tumbuhan) yang menjadi salah sebuah buku paling terperinci yang pernah ditulis mengenai tanaman.

Para cendekiawan Islam dan sains begitu ramai bilangannya sehingga tidak dapat disenaraikan semuanya di sini. Namun, jika terdapat pelajaran yang dapat kita pelajari daripada kehidupan dan pencapaian mereka, ia adalah kerana Islam benar-benar merupakan agama yang meletakkan pengetahuan sebagai asas kehidupan.