Muslim kontemporari yang tersendiri

Dunia Adea Ghafar 15-Mei-2020
Islam, London
Sebuah bas dua tingkat di London © Jaroslav Moravcik | Dreamstime.com

Susah sangatkah untuk hidup pada tahun 2020 di abad ke-21 ini sebagai seorang Muslim, sama ada dalam sebuah negara Muslim ataupun di negara barat? Jawapannya ialah ya dan tidak. Untuk memberikan idea yang lebih jelas, abad ke-21  kalendar Masihi sebenarnya telah pun bermula 19 tahun yang lepas! Secara rasmi, 1 Januari 2001 ialah tarikh bermulanya abad ke-21, era yang dianggap zaman sains dan teknologi dan kehidupan alaf ketiga. Ini bermakna, bagi para pembaca Muslim, kehidupan moden di abad ke-21 itu telah pun lama dilalui.

Sehingga kini, bagaimana rasanya pengalaman dan jalan hidup anda dalam abad ke-21 ini? Bergantung kepada lokasi geografi, kehidupan umat Islam semestinya telah pun banyak menerima pelbagai perubahan dan cabaran. Apa yang penting ialah, kenalilah Islam dan fahaminya dengan baik. Seterusnya, sesuaikan gaya hidup dan keberadaan minda anda berlandaskan Islam dengan sewajarnya, melalui pendekatan yang sederhana, bermutu dan bermakna.

Penyesuaian diri umat Islam dalam suasana kehidupan kontemporari di Malaysia atau di Egypt, juga di England atau di Germany akan memerlukan kemodenan dan tradisi Islam acuan masing-masing yang saling bergantung antara satu sama lain. Agama Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh serta melampaui masa (dunia dan akhirat) telah lama wujud sebagai perancangan kaedah teragung dalam konteks kehidupan manusia. Oleh yang demikian, abad ke-21 sudah pasti menjadi lapangan untuk kita mengungkapkan lebih banyak perkara baharu yang berinteraksi atau terhubungkait dengan Islam.

Bersesuaian dengan itu, kita seharusnya boleh meraikan abad ke-21 tanpa mengurangkan unsur keislaman dalam diri. Contohnya, kita boleh berfikir dengan lebih liberal (bersifat terbuka) tetapi bukan bertukar gaya hidup menjadi liberal Occident. Perlu diingat, liberalisme telah mengambil makna yang berbeza pada zaman moden ini. Tetapi pastikan hasilnya tidak menjadikan kita daif dalam ilmu agama, dan mempertahankan iman adalah wajib, itu mesti difahami. Dalam pada itu, jangan lupa untuk menangani masalah-masalah sosial, politik dan keislaman di kalangan masyarakat Muslim moden walau di mana anda berada.

Menyentuh tentang masalah berkaitan Islam dalam perspektif antarabangsa, ekstrimisme dalam Islam adalah satu penyakit berat. Penyakit biasanya mengambil masa untuk dikenali, contohnya pemahaman ekstremis atau pun rasuah. Namun, yakinilah yang Allah SWT menghantar penyakit bersama ubatnya. Dalam hal ini, peranan kita adalah untuk mendukung dan mendorong keamanan. Kuncinya ialah mengelak agar tidak tersedut atau mempamerkan sebarang bentuk pemikiran melampau atau ketaksuban.

Bagi Muslim yang tinggal di negara-negara barat, Islamophobia – iaitu penyimpangan Islam dan rasa takut kepada orang Islam – adalah satu cabaran besar masa kini. Masalah ketakutan ini adalah nyata, dan sudah tentu kita digalakkan untuk menanganinya dengan bijaksana. Jangan biarkan permusuhan orang lain membuat kita tidak berlaku adil, dan tiada siapa yang lebih mulia daripada yang lain. Dari segi apa dan bagaimana, keamanan dan cinta kasih adalah landasan asas agama dan kita harus terus menekankan keterlibatan dan toleransi dalam masyarakat. Oleh itu, umat Islam sebaiknya saling mengingati akan nilai-nilai teras ini bersama nilai-nilai Islam yang lain.

Sekitar hubungan Islam dengan kemajuan moden, perkara terpenting ialah memastikan segala urusan kita haruslah munasabah dan memberi manfaat, berdasarkan pertimbangan praktikal dan kewujudan bersama. Islam yang sebenar juga dikenali sebagai saling memahami, berperikemanusiaan dan pada dasarnya bersifat terbuka. Kerana itu, pemahaman yang lebih mendalam mengenai Islam diperlukan lebih lagi dari abad sebelum ini. Bagaimanapun, kita tentu saja maklum yang  idea-idea kebaratan bukanlah puncak dan titik akhir sejarah manusia. Dan ini tidak patut dilihat sebagai ukuran dalam Islam.

Islam membawa keamanan, ia adalah kebersamaan, dan ia juga menganjurkan keadilan terhadap penindasan. Seorang Muslim sejati memerlukan nilai moral yang idealistik dan bertoleransi kepada semua orang, sebagaimana Nabi Muhammad SAW yang kerap bertukar fikiran dan berjumpa dengan orang yang berbeza agama. Jadi jelas, kehidupan kita sangat memerlukan nilai Islam yang berpadanan dengan nilai teras peradaban moden, seperti menyuarakan kebebasan dan keadilan. Persoalannya ialah, bagaimana kita menghadapinya dengan betul pada zaman ini adalah bergantung kepada diri kita sendiri.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!