Mustahaknya solat sunat Witir

Kepercayaan Chan Abdullah 19-Mei-2020
Dirikanlah solat witir di malam hari © Azizi Abd Hamid | Dreamstime.com

Witir, dalam bahasa Arab bermaksud ‘nombor ganjil’. Solat Witir merupakan antara ibadah yang sangat digalakkan kepada setiap umat Islam. Ini dapat dilihat berdasarkan beberapa riwayat yang menceritakan tentang anjuran dan galakan melakukan solat sunat ini.

Daripada Ibn Umar r.a., Nabi Muhammad SAW yang kita sanjungi bersabda: “Jadikanlah solat Witir sebagai solat terakhir kamu pada waktu malam.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Solat Witir bukanlah hanya khusus dilakukan di dalam bulan Ramadan sahaja. Tetapi ia boleh dilakukan pada malam hari, setiap hari. Rasulullah SAW endiri mengerjakan solat Witir pada setiap malam hari. Solat Witir adalah salah satu amalan solat sunat yang sangat digalakkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai orang yang beramal dengan Al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat Witir, sesungguhnya Allah itu bersifat Witir dan Dia menyukainya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Solat Witir boleh dilakukan sepanjang malam bermula selepas Isyak sehingga sebelum masuk waktu Subuh. Jika anda bimbang tidak dapat bangun di tengah malam, anda boleh sahaja solat Witir di awal malam hari.

Baginda Nabi SAW turut berkata: “Sesiapa yang bimbang tidak dapat bangun di akhir malam, hendaklah dia bersolat Witir pada awalnya. Dan sesiapa yang hendak bangun pada akhir malam, bersolatlah pada akhir malam. Kerana solat di akhir malam disaksikan (oleh malaikat). Dan ia lebih baik.” (Hadis riwayat Muslim).

Solat sunat Witir boleh dilakukan dalam beberapa rakaat iaitu satu, tiga, lima, tujuh, sembilan dan sebelas.

Rasulullah SAW bersabda: “Solat Witir ialah syariat yang dituntut atas setiap orang Islam. Sesiapa melakukannya lima rakaat lakukanlah, sesiapa yang hendak melakukannya tiga rakaat lakukanlah, dan sesiapa hendak melakukannya satu rakaat sahaja lakukanlah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Melalui Abdullah bin Buraidah r.a. dari ayahnya bahawa dia mendengar Rasullah SAW bersabda: “Solat Witir itu adalah benar. Sesiapa yang tidak bersolat Witir dia bukan daripada kami. Solat Witir itu adalah benar. Sesiapa yang tidak bersolat Witir dia bukan daripada kami. Solat Witir itu adalah benar. Sesiapa yang tidak bersolat Witir dia bukan daripada kami.“ (Hadis riwayat Abu Daud)

Marilah kita menjadikan solat sunat Witir ini sebagai amalan harian kita di malam hari. Bukan sekadar di bulan Ramadan sahaja, tetapi sepanjang malam secara berterusan.