Mustajab doa orang berpuasa

Agama Hanita Hassan 01-Mei-2020
Berdoa ketika berpuasa © Ahmad Faizal Yahya | Dreamstime.com

Doa mempunyai banyak pengertian.  Dari segi  istilah ialah memohon sesuatu daripada Allah SWT dengan cara tertentu.  Secara linguistik (lughawy), diambil daripada perkataan Arab da’aa’-yad’uu yang mempunyai banyak pengertian sebagaimana disebut dalam al-Quran dan hadis.

Firman Allah SWT dalam al-Quran: “…berdoalah (mintalah) kepada-Ku, nescaya Aku makbulkan permintaanmu.” (Surah al-Mukmin, ayat 60)

Kebanyakan doa para rasul dan nabi dimakbulkan serta merta.  Doa Rasulullah SAW menjelang perang Badar misalnya, dikabulkan oleh Allah SWT.  Begitu juga dengan doa Ibn Abbas r.a. ketika meminta hujan akibat kemarau panjang.  Belum sempat Ibn Abbas meletakkan tangannya ke bawah, hujan telah turun mencurah-curah.

Begitu juga dengan kisah tiga pemuda yang berdoa dengan wasilah atau ikatan pertalian amal masing-masing dalam sebuah gua.  Doa mereka dikabulkan dan pintu gua tergerak serta-merta apabila setiap seorang selesai berdoa.  Sesungguhnya, jaminan Allah adalah benar dengan bukti seperti firman-Nya:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka beritahulah mereka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka.  Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaku.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan serta rahmat Allah SWT.  Pelbagai tawaran dan keistimewaan tersedia untuk kita merebut peluang ini.  Doa juga termasuk salah satu keistimewaan semasa kita berpuasa.  Perintah untuk berdoa bukan sahaja ketika kita dalam keadaan susah, malahan juga ketika dalam keadaan selesa dan tenang.

Rasulullah SAW walaupun bersifat maksum, yang sentiasa dipelihara oleh Allah SWT, tidak mengurangkan kadar baginda berdoa.  Meskipun Allah telah menjamin syurga dan memberi keampunan kepada baginda, namun Rasulullah tetap memohon doa siang dan malam.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Nabi SAW bersabda:  “Tiga golongan doa mereka yang tidak akan ditolak :  imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi.” [Hadis riwayat Ibn Majah (91752). Syeikh Syuaib al-Ama’outh mengatakan  hadis ini adalah hasan (baik)]

Daripada Abdullah bin Amr r.a. berkata bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka, doa yang yang mustajab.” [Musnad Abi Daud al-Thoyalisi (2376)]

Hadis ini jelas memberitahu bahawa doa orang yang berpuasa mustajab di sisi Allah SWT.  Kedudukan kita yang berpuasa adalah tinggi dan istimewa.  Allah amat suka apabila kita berdoa memohon sesuatu terus kepada-Nya dalam semua keadaan.

Peluang berada dalam bulan Ramadan ini hendaklah digunakan sebaiknya.  Inilah waktu yang paling afdal dan mustajab berdoa.  Ketika bersahur, semasa sedang berpuasa dan sewaktu menjelang berbuka, satu pertiga malam, sewaktu azan berkumandang dan malam lailatul qadar.

Sebagai hamba yang beriman, berdoalah sebanyak yang boleh. Jangan pernah jemu berdoa kerana Allah SWT tidak pernah jemu mendengar suara kita.  Sesungguhnya setiap tangan yang menadah ke langit pasti akan dimakbulkan. Masa tidak akan pernah menunggu kita yang lalai.