Muzik medan dakwah unik

Seni Hanita Hassan 29-Mei-2020
Seniman Negara Tan Sri P. Ramlee © facebook.com/Seniman-P-Ramlee-102112287888480

Ramadan yang datang sebulan sekali turut diserikan dengan lagu-lagu ketuhanan. Sambutan Syawal dan hari raya juga tidak sunyi dengan lagu-lagu yang mendidik jiwa, bagi meraikan detik kemenangan setelah sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga.

Lagu raya seolah-olah tradisi yang perlu ada dalam budaya orang Melayu di Malaysia. Lagu ‘Dendang Perantau’ nyanyian Allahyarham Tan Sri P.Ramlee tidak jemu didengar sejak dahulu hingga sekarang. Liriknya boleh membuatkan kita menangis.  Begitu juga dengan lagu ‘Dari Jauh Ku Pohon Maaf’ nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad, yang begitu menyentuh jiwa.

Bagi para perantau yang sudah bertahun  tidak menjengok orang tua di kampung, lagu-lagu seperti ‘Musafir di Aidilfitri’ dan ‘Ku Pohon Restu Ayah Bonda’  mengingatkan mereka akan tanggungjawab yang perlu dilakukan pada detik kemenangan ini.

Biasanya selepas dua minggu berpuasa, stesen-stesen radio akan mula memasang pelbagai jenis lagu raya, dari jenis malar segar hingga lagu moden dengan rentak baharu bagi mengisi halwa telinga semua golongan pendengar.

Muzik boleh dijadikan medan untuk kita berdakwah kepada masyarakat.  Hari ini ramai kalangan penggiat seni tanah air serta antarabangsa menggunakan muzik sebagai medan dakwah.

Kumpulan Raihan yang dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim telah lebih dua dekad menyebarkan mesej dakwah menerusi lagu.  Keistimewaan Raihan adalah dari segi muzik dan imej Islamik yang diketengahkan dengan diiringi alat muzik genderang (percussion).

Lirik yang diketengahkan Raihan juga pelbagai. Ada moden dan tradisional seperti selawat serta doa harian.  Tahun lepas, Raihan dan penyanyi Alif bergabung dan merakamkan semula lagu ‘Sesungguhnya’ dan ia menjadi siulan anak muda.

Tahun ini, kedua-duanya sekali lagi bergabung dengan lagu ‘Damba Cinta Mu’. Lagu ini disusun semula dengan melodi lebih segar dan moden.  Ia memberi kesan keinsafan dalam mencari cinta kepada Tuhan  Apa yang kita lalui hari ini seolah-olah kena dengan lirik lagu ini.

‘Tuhanku ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku maafkanlah kejahilan hamba-Mu

Ku sering melanggar larangan-Mu
Dalam sedar ataupun tidak

Ku sering meninggalkan suruhan-Mu
Walau sedar aku milik-Mu

Tuhanku ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku maafkanlah kejahilan hamba-Mu’

Dalam sejarah Islam, terdapat ramai ilmuwan yang menulis mengenai muzik. Bermula tahun 800 masihi, ilmuwan Islam, Al-Kindi sendiri menulis buku yang bertajuk ‘Musiqi’ yang menyentuh mengenai nilai terapi yang terdapat dalam muzik.

Al-Farabi (872-951 Masihi) yang merupakan ilmuwan Islam yang tersohor juga dikenali atas sumbangan besarnya dalam seni muzik. Beliau menulis lebih daripada lima buah buku mengenai teori muzik serta implikasinya terhadap manusia.  ‘Kitabul Al-Musiqa Al-Kabir’ merupakan karya yang merungkai teori muzik dan ia diterjemah serta menjadi rujukan bagi beberapa universiti di Sepanyol.

Sesungguhnya dalam era maklumat di hujung jari, tugas dakwah bukan sahaja terletak di tangan para pendakwah tetapi ia juga adalah tugas kita semua. Selamat hari raya Aidilfitri. Semoga Syawal ini mendekatkan lagi kita ke hadrat  Allah SWT.