‘Muzikal Lawak Superstar’ Ketengah Bakat Penyanyi & Pelawak

‘Muzikal Lawak Superstar’, program realiti muzikal komedi terbaharu dari Astro Warna ini bakal dipancarkan secara langsung eksklusif dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) pada setiap hari Jumaat, 9.00 malam mulai 28 Jun 2019.

Untuk pilihan alternatif, program ini turut boleh ditonton di mana sahaja menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand & juga boleh dinikmati menerusi platform digital, seperti saluran YouTube Astro Gempak (untuk minggu pertama sahaja). Pelanggan NJOI boleh menikmati siaran langsung ‘Muzikal Lawak Superstar’ minggu pertama ini secara percuma di NJOI TV saluran 100.

Mengandingkan 14 kumpulan yang tediri daripada barisan pelawak, bersama artis-artis dari pelbagai cabang industri hiburan seperti pelakon, penyanyi dan personaliti popular, ‘Muzikal Lawak Superstar’ yang bakal bersiaran selama 10 minggu ini akan dikemudikan oleh dua nama sensasi dalam industri– pelakon dan pengacara popular, Nabil Ahmad dan Nabila Huda.

Manakala komposer dan pemain gitar yang begitu disegani ramai, Shah Nizam Abdul Halim atau lebih dikenali dengan Shah (Slam) akan bertindak sebagai Pengarah Muzik.

Menurut  Pengurus Saluran Astro Warna, Astro Prima & InTrend, Norzeha Mohd Salleh, mereka  menyuntik sedikit kelainan dalam program realiti terbitan Astro Warna ini. “Kami mengangkat konsep pertunjukan muzikal yang bergerak secara tandem dengan elemen komedia,” jelasnya.

“Idea-Idea ‘Muzikal Lawak Superstar’ dizahirkan selepas melihat keterujaan dan respons positif yang ditunjukkan penonton setiap kali kami mempertontonkan ‘Minggu Tema Muzikal’ di program signature ‘Maharaja Lawak Mega’. Sokongan dan gelak tawa penonton baik di dewan utama mahupun di rumah dilihat lebih luar biasa dari kebiasaan, dan ia turut menjadi topik bualan utama di ruangan-ruangan digital serta menjadi antara episod yang meraih rating tertinggi sepanjang musim bersiaran. Kami yakin, format seumpama ini mampu memenangi hati peminat terutamanya mereka yang menginginkan pendekatan yang berbeza dan tidak klise”.

Mengulas lebih lanjut tentang pembabitan peserta dan juri yang terdiri dari barisan pelawak, artis dan selebriti popular tanah air, Norzeha berkata, “Astro Warna berjaya melahirkan ramai pelawak berbakat yang kemudiannya beralih untuk menerokai pelbagai bidang industri seni yang lebih luas seperti lakonan, nyanyian, teater dan pengacaraan, misalnya. Menerusi ‘Muzikal Lawak Superstar’ pula, peserta yang hadir dari pelbagai cabang industri ini – pelakon, penyanyi dan personaliti – kini diberi cabaran dan peluang untuk beraksi dan mempamerkan persembahan masing-masing di gelangang komedi bagi membuktikan keberkesanan dan keserba-bolehan bakat yang mereka miliki.

Kami juga mengalu-alukan kehadiran tiga figura seni yang berkaliber lagi berpengaruh untuk menyarung jersi ‘Juri Profesional’ yang akan memanaskan kerusi di bahagian penjurian secara tetap selama 10 minggu berturut-turut. Mereka adalah lagenda rock negara, Datuk Awie, yang akan menilai dan memberi markah berdasarkan lakonan, sketsa, nilai komedi dalam persembahan peserta. Beliau akan ditemani pelakon wanita versatil, Nora Danish, yang akan menilai dan memberi markah berdasarkan tahap kreativiti lakonan peserta, mewakili pandangan penonton. Dan juri tetap seterusnya, komposer dan ikon rap popular Altimet, akan menilai dan memberi markah berdasarkan kreativiti lirik, persembahan muzikal peserta, juga sketsa komedi.

Dengan pengalaman dan penglibatan mereka dalam pelbagai cabang hiburan, kami yakin ketiga-tiga mereka dapat berkongsi aura mereka yang unik kepada para peserta sekaligus dijadikan sebagai inspirasi kejayaan bukan sahaja dalam segmen lakonan malah dalam nyanyian dan memberikan persembahan yang berpontensi merubah industri seni secara total.”

Dari segi format pemarkahan pula, 50% jumlah pemarkahan diberikan oleh barisan juri tetap manakala 50% lagi adalah undian penonton menerusi undian SMS & undian atas talian. Cara mengundi secara SMS adalah dengan cara menaip MLS <jarak> Nama Kumpulan dan hantarkan ke 32777 atau undian secara pukal dengan cara menaip MLS3/MLS5/MLS10/MLS20 <jarak> Nama Kumpulan dan hantarkan ke 32777. Manakala untuk undian atas talian pula dengan cara melayari www.muzikallawaksuperstar.gempak.com, dengan log masuk menggunakan akaun Astro atau Facebook. Undian akan dibuka secara rasmi bermula Jumaat, 28 Jun 2019, jam 9 malam.”