Nadiah Hamzah Angkat Tema Penyiasatan Jenayah Misteri Dalam ‘Motif’

Jarang sekali filem berunsurkan penyiasatan kes jenayah yang misteri diangkat menjadi tema bagi sebuah filem tempatan.

Kebanyakannya yang sering kita tonton selama ini adalah filem berkisarkan polis seperti Polis Evo atau Gerak Khas The Movie, yang mana jalan cerita dan plotnya bagaikan sudah sebati dengan diri para peminat filem Melayu.

Namun, berbeza bagi seorang pengarah muda, Nadiah Hamzah, yang dilihat begitu berani mempertaruhkan sebuah naskhah bergenre penyiasatan kes jenayah untuk filem sulungnya yang berjudul Motif.

Mendapat cetusan ilham daripada penerbitnya sendiri iaitu Muhammad Bahir, Motif dilihat sebagai sebuah karya sulung yang boleh dibanggakan, meskipun terdapat sedikit kelemahan yang boleh dimaafkan dan diperbaiki.

Terima kasih kepada dua teraju utama filem tersebut iaitu hero filem Melayu sepanjang zaman, Datuk Rosyam Nor dan Sharifah Amani yang sememangnya tidak pernah gagal dalam menjiwai watak-watak mereka.

Watak Rosyam sebagai Hussein ternyata berjaya memperdayakan penonton dan membuatkan penonton tertanya-tanya; adakah dia seorang yang berwatak antagonis atau protagonis?

Begitu juga dengan watak Inspektor Dewi yang dijayakan oleh Sharifah Amani.

Meskipun ia merupakan kali pertama pelakon genit itu membawakan watak seorang inspektor polis, namun, dia berjaya membawa penonton untuk masuk bersama ke dalam watak tersebut.

Sehinggakan ada babak yang mampu membuatkan penonton berasa berbangga dengan Inspektor Dewi, dan ada babak yang akan membuatkan penonton berasa seperti menyampah dengannya disebabkan statusnya sebagai seorang perampas suami orang.

Cuma, apa yang menjadi sedikit janggal adalah apabila dua nama besar itu digabungkan dengan para pelakon baharu seperti Taqim Zaki yang memegang watak Inspektor Rizal dan Emma Tosh yang memegang watak Yasmin, yang menjadikan perbezaan mutu lakonan antara mereka kelihatan begitu nyata sekali.

Menceritakan mengenai penghasilan filem Motif, Nadiah berkata, dia dan Muhammad Bahir telah berbincang untuk mengembangkan cerita tentang poligami yang berlatar belakangkan genre ‘murder mystery’ memandangkan dia sendiri berminat terhadap drama bersiri pembunuhan dari negara Scandinavia.

“Dalam Motif, kami ingin mempaparkan bahawa bukanlah satu perkara yang mudah apabila diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan satu kes kehilangan remaja, pada saat diri dihimpit dengan permasalahan peribadi.

“Dan itulah yang harus ditempuhi Inspektor Dewi, yang juga merupakan seorang isteri kedua.

“Malah, setiap yang berlaku di sekeliling dilihat mempunyai motif tersendiri sehingga menimbulkan misteri, termasuk kes yang sedang cuba diselesaikannya,” ujarnya yang telah mula menghasilkan sinopsis dan skrip filem berkenaan pada tahun 2014.

Dengan peruntukan bajet produksi bernilai RM1.5 juta, filem terbitan Wayang Works Sdn. Bhd.  itu menjalankan penggambaran selama 18 hari di sekitar Kuala Lumpur, Sungai Penchala, Nilai dan Bukit Fraser.

Dari segi pemilihan pelakon, Nadiah berkata, pihaknya melihat terdapat keserasian antara Sharifah Amani dan Rosyam Nor.

“Walaupun kedua-duanya belum pernah digandingkan bersama, ternyata terdapat dinamik antara kedua-mereka sehingga berhasil mengangkat jalan cerita seperti yang saya bayangkan sewaktu skrip dihasilkan,” jelasnya.

Motif berkisarkan mengenai Inspektor Dewi (Sharifah Amani) yang telah ditugaskan untuk menyiasat kes kehilangan seorang remaja perempuan di sebuah bandar kecil.

Pelbagai kejadian misteri dan menimbulkan syak wasangka berlaku sehingga membuatkan Dewi menentang ayah kepada remaja berkenaan iaitu Hussein (Rosyam Nor) kerana menggambarkan sikap Hussein seperti suaminya.

Dewi berbangga menjadi seorang detektif yang teliti, bijak dan paling utama seorang wanita yang berdikari meskipun dia digandingkan dengan rakan sepasukan dalam penyiasatan tersebut iaitu Inspektor Rizal, yang merupakan anak jati pekan tersebut.

Dalam masa yang sama, Dewi juga merupakan seorang wanita yang sedang bergelut dengan masalah kehidupannya sebagai seorang isteri kedua.

Bagaimanakah dia bertahan dalam tugasannya apabila berhadapan dengan permasalahan sendiri, dan siapakah dalang sebenar dalam kes kehilangan remaja tersebut?

Motif turut membariskan pelakon-pelakon handal lain seperti Iedil Putra, Azhan Rani dan Sherie Merlis.

Saksikan Motif di pawagam-pawagam berhampiran anda bermula 26 September 2019.

 

Foto: JCPR