Nafkah : Isteri Lebih Berhak Daripada Ibu Bapa, Adik-Beradik

Sahsiah Rahayu Mat Nah 19-Jun-2019
happy family enjoying summer holiday together in the beach

Selepas berkahwin, adalah menjadi tanggungjawab suami untuk memberi nafkah dan segala keperluan kepada isterinya. Sama ada nafkah zahir dan batin.

Bagaimanapun, bukan sedikit perkahwinan yang menghadapi dilema apabila si suami sering melebihkan ibu, bapa mahupun adik-beradik berbanding isteri sendiri.

Salah satu faktor yang menjadikan suami bertindak demikian adalah kerana isterinya bekerja dan punya pendapatan sendiri.

Namun mereka terlupa. Nafkah kepada isteri adalah wajib. Menurut Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias di ruangan ‘Cer Kome Tanya’ di laman web Utusan ,suami wajib memberi nafkah kepada isteri walaupun isteri bekerja.

Malah jika pendapatan isteri lebih besar daripada suami sekalipun, pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan si suami.

Apabila si suami tidak mampu sepenuhnya maka bolehlah si isteri membantu dalam urusan perbelanjaan rumah tangga.

Bagi suami, anda hendaklah melayan isteri dengan baik dan salah satu bentuk layanan yang baik adalah menyempurnakan nafkah kepada isteri.

Meskipun isteri bekerja, namun suami tetap perlu memberi nafkah kepada isterinya melainkan jika si isteri tidak lagi menuntut atau menghalalkannya.

Islam juga menetapkan seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain (termasuk ibu-bapa). Urutan nafkah adalah seperti berikut;

1) Diri sendiri

2) Isteri

3) Anak

4) Bapa

5) Ibu

6) Cucu

7) Datuk

8) Saudara

9) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Urutan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yang menegaskan;

“Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu.

Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir R.A) .

Perlu disebut juga di sini bahawa nafkah untuk isteri wajib diberikan oleh suami sekalipun isteri kaya dan berada.

Suami yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada isterinya (mengikut kemampuannya) ia dianggap berhutang dengan isterinya kecualilah jika isteri menggugurkan haknya dengan kerelaannya sendiri.

Begitu juga, isteri boleh menuntut fasakh di atas kegagalan suaminya memberi nafkah.
Adapun nafkah kepada orang lain selain isteri, ia tidak wajib melainkan apabila memenuhi dua syarat;

a) Mereka adalah miskin, tidak memiliki harta dan tidak mempunyai sumber pendapatan. Jika mereka mempunyai harta atau memiliki sumber pendapatan sendiri, tidaklah wajib lagi ia menyara mereka.

Namun digalakkan ia meneruskan pemberiannya kepada mereka untuk mengekal kasih sayang dan silaturrahim.

b) Ia mempunyai kemampuan untuk menanggung mereka; sama ada dengan hartanya atau dengan sumber pendapatannya.

Kemampuan ini merangkumi kos saraan untuk diri sendiri dan isteri. Jika ada lebihan (setelah ditolak keperluan diri dan isteri), barulah ia wajib menyara ahli-ahli keluarga yang lain.

Kesimpulannya, tidak harus suami mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan alasan ingin membantu ibu-bapa di kampung kerana nafkah isteri dan anak-anak adalah wajib.

Jika si suami masih ingin memberi nafkah kepada ibu bapa, dia tidak boleh sama sekali mengabaikan isteri dan anak-anak. Itupun jika ia mampu menampung semua mereka. Jika tidak, hendaklah ia mendahulukan isteri dan anak-anaknya.

Kredit foto : 123rf