Nafsu makan, jangan dituruti tanpa batasan

Makanan Hanita Hassan
Hanita Hassan
Nafsu makan, jangan dituruti tanpa batasan
Nafsu makan, jangan dituruti tanpa batasan © motortion | Dreamstime.com

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk dari perutnya.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Hidup untuk makan atau makan untuk hidup? 

Imam Al-Ghazali r.a dalam kitab Ihya Ulum al-Din menegaskan bahawa perut itu hakikatnya adalah sumber segala nafsu syahwat. Ia juga tempat tumbuhnya segala penyakit dan bencana.

Nafsu syahwat perut akan berkait langsung dengan nafsu syahwat seksual seterusnya membawa kepada keinginan pada kedudukan dan harta. Kita biasa mendengar perumpamaan mengenai makan.

‘Kita hidup untuk makan atau makan untuk hidup?’ Sudah pasti ramai yang memilih falsafah makan untuk hidup.  Realitinya ia tidak begitu. Jika kita lihat hantaran status di media sosial, ramai yang gemar memuat naik foto makanan.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah wujud satu ruangan khas di Facebook: ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni’.   Semua ini menggambarkan betapa kita dengan makanan tidak dapat dipisahkan.

Celik pagi, teringat hendak sarapan apa.  Belum sempat makanan pagi dikisar, kita sudah mula memikirkan hidangan untuk makan tengah hari.  Tidak berhenti di situ, apabila petang menjelma, pisang goreng atau karipap panas sudah siap dibeli untuk hidangan petang.  Kemudian malam menjelma, hidangan untuk makan malam pula dan seterusnya makan tengah malam sebelum tidur.

Baru-baru ini (5hb Ogos 2020) seramai 15 anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Daerah Melaka Tengah dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu memindahkan seorang lelaki obes ke Hospital Melaka kerana sesak nafas.

Tugas memindahkan mangsa yang berusia 55 tahun, memiliki berat badan mencecah 200 kilogram itu mengambil masa sejam. Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa menggunakan bantuan trak Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) untuk menghantar mangsa ke hospital kerana keadaan fizikal mangsa.

Nafsu makan, jangan dituruti tanpa batasan

Setiap daripada kita mempunyai nafsu makan. Ia adalah satu kenikmatan hidup sekiranya nafsu makan dapat dipenuhi dan ditunaikan. Walau bagaimanapun, sekiranya nafsu makan ini dituruti dan dipenuhi tanpa batasan, ia seharusnya diberi perhatian sewajarnya.

Bimbang makanan yang dimakan boleh memberi kemudaratan kesihatan diri seperti obesiti.  Selain mengidapi penyakit yang tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis dan kolesterol.

Tahap keperluan tenaga yang diperlukan oleh kita berbeza satu sama lain. Makanan diperlukan untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan normal, agar sentiasa cergas dan dapat mengekalkan tahap kesihatan.

Makanan juga dapat membekal tenaga dan nutrisi agar dapat melakukan aktiviti fizikal harian.  Jumlah makanan yang diperlukan bergantung kepada jantina, umur serta aktiviti yang dilakukan.

Sekiranya kita makan dengan kuantiti yang lebih daripada sepatutnya, maka sudah tentu ia boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan diri untuk jangka masa panjang. Begitulah kehidupan yang disibukkan di antara kerja dan makan serta urusan harian.

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:

“Perut manusia itu tempat segala penyakit, manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan.”

(Hadis riwayat Ad-Dailami)

Justeru berhati-hati dalam pengambilan pemakanan. Beringat sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada merawat.  Apabila badan kita sihat, dengan mudah dapat melakukan ibadah kepada Allah SWT. Elakkan mengambil makanan yang syubhah.  Semoga bermanfaat.