Nak Pakai Kanta Lekap, Kena Tahu Caranya

Contact Lens For Vision. Closeup Of Female Face With Applying Contact Lens On Her Brown Eyes. Beautiful Woman Putting Eye Lenses With Hands. Opthalmology Medicine And Health. High Resolution

Sempena Aidilfitri nanti, pasti ramai yang memasang untuk tampil menawan. Selain ingin tampil mempesona, ramai juga yang mahu ekstra cantik dengan mengenakan sepasang kanta lekap.

Bagi yang sudah biasa menggunakan kanta lekap, pemilihan kanta lekap mungkin tidak menjadi isu kerana masing-masing sudah tahu apa yang baik dan elok untuk mata mereka. Namun, bagi yang baru pertama kali ingin mencuba, jangan ambil mudah tentang pemilihan kanta lekap.

Sama ada kanta lekap berwarna atau natural yang menarik perhatian, anda perlu tahu cara yang betul memilih kanta lekap. Jangan ambil mudah kerana anda bakal mempertaruhkan anugerah yang cukup berharga daripada Allah.

Jadi apa perkara yang wajib anda tahu sebelum mengambil keputusan untuk mengenakan kanta lekap?

Menurut Optometris dan juga pemilik The Eye Shop Optometry, yang terletak di Bandar Baru Bangi, Fair Sulaiman, mereka yang tidak pernah mengenakan kanta lekap harus buat pemeriksaan mata terlebih dahulu. Pemeriksaan ini bertujuan untuk mengetahui sama ada pemilik mata itu sesuai atau tidak mengenakan kanta lekap.

“Mengenakan kanta lekap memang boleh membuatkan penampilan seseorang tampil berbeza dan cantik, tetapi seseorang itu perlu tahu sama ada dia sesuai atau tidak mengenakan kanta lekap.”

“Sebenarnya bukan semua orang boleh memakai kanta lekap. Jika anda memiliki sepasang mata yang kering atau sangat kering, pemakaian kanta lekap adalah tidak digalakkan. Ini kerana ia boleh menyebabkan komplikasi mata yang tidak diingini,” ulas Fair.

Selain itu, Fair juga berpesan supaya tidak membeli kanta lekap secara online atau daripada mana-mana individu yang tidak bertauliah. Ini kerana hampir semua yang berniaga secara online ini menyediakan kanta lekap yang tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya.

Mengikut Akta Optik 1991, kanta lekap hanya boleh dipreskripsi, diagihkan dan dijual oleh pengamal bertauliah yang berdaftar dengan Majlis Optik Malaysia. Jadi jangan sesekali beli kanta lekap di pasar malam, kedai runcit, pusat kecantikan dan laman sosial (online). Walau apa pun, kena jumpa Optometris. Tiada kompromi,” tambah Fair lagi.

Pemilihan warna kanta lekap

Mengulas tentang pemilihan warna kanta lekap yang sesuai, Fair memberitahu ia bergantung pada diri masing-masing kerana setiap warna memberikan kesan berbeza pada si pemakai.

“ Ada yang memilih kanta lekap yang sesuai berdasarkan warna kulit masing-masing. Koleksi warna terang seperti biru, turquoise, violet amat sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit cerah kerana ia memberikan kesan dramatis secara semulajadi.”

Bagi mereka yang mempunyai warna kulit gelap, variasi perang seperti honey dan coklat mampu menonjolkan mata yang lebih ceria. Bagaimanapun, jika mereka berani, pilihan warna ungu dan hijau mungkin boleh dicuba.”

Selain bergantung kepada warna kulit, pemilihan kanta lekap juga boleh dibuat berdasarkan personaliti seseorang. Jika anda seorang yang ceria, berani dan dramatik, anda boleh memilih warna seperti biru, merah, kelabu cerah, merah jambu, dan turquoise.

Kredit foto : 123rf