Nak seribu daya, tak nak seribu dalih

Kehidupan Tari Basir 25-Sep-2020
missing mountaineer
Nak seribu daya, tak nak seribu dalih © Dan Briški | Dreamstime.com

Musim hujan baru-baru ini melanda beberapa tempat di Malaysia, terutamanya sebelah selatan Malaysia seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur. Hujan yang turun kadangkalanya berlarutan sepanjang hari, umpama langit yang muntah setelah menanggung hujan sekian lama.

Hujan yang turun tanpa henti sudah tentu turun membawa beberapa musibah, seperti banjir atau kerosakan tanaman. Malahan, ia juga mampu memberi kesan kepada emosi seperti rasa mengantuk yang teramat atau lemah badan dek kedinginan yang luar biasa. Bagi sesetengah orang, hujan yang turun dengan lebatnya memberi isyarat kepada badan agar berehat dan melelapkan mata, bagi menikmati keseronokan rintik-rintik hujan yang menghentam bumi.

Bayangkan, seseorang yang akan memulakan pekerjaan di pagi hari, terpaksa mendepani cabaran untuk mengangkat selimut dan membuka mata, lantaran hujan lebat yang menambahkan rencah keseronokan untuk menyambung tidurnya. Begitu juga seorang Muslim yang terpaksa mendepani cabaran yang hadir daripada lebatnya hujan, untuk bangkit daripada tidurnya yang enak dan menyentuh sejuknya air untuk mengambil wuduk, bagi menunaikan perintah Allah SWT untuk menunaikan solat Subuh.

Hakikatnya dalam kehidupan, seseorang Muslim itu hanya menghadapi dua perkara sahaja, iaitu perkara mustahil dan tidak mustahil. Perkara mustahil itu sudah tentu perkara yang hanya menjadi urusan Allah SWT dan tiada seorang hamba-Nya pun yang mampu menguruskannya, seperti menangguhkan atau mempercepatkan kematian.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-‘Araf yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”

Manakala perkara tidak mustahil pula ialah perkara yang mampu diuruskan oleh seseorang Muslim itu, walaupun hakikatnya ia juga merupakan urusan Allah. Namun, meskipun perkara yang tidak mustahil boleh diuruskan oleh seseorang Muslim itu, tidak semuanya merupakan perkara yang mudah dan kadangkalanya merupakan perkara yang sukar.

Walau bagaimanapun, selagi mana sesuatu perkara itu merupakan perkara tidak mustahil, ia tetap mampu dilaksanakan walaupun seseorang Muslim itu terpaksa mendepani seribu halangan dek kesukaran perkara tersebut. Bukanlah ada pepatah Melayu menyebut: “Nak seribu daya, tak nak seribu dalih?”

Adalah perlu diingatkan, selagimana seseorang Muslim itu memiliki seribu daya dan kehendak, sudah tentu perkara yang sukar sekalipun mampu dilaksanakan meskipun ia kedengaran mustahil untuk dilaksanakan pada awalnya. Begitu juga sebaliknya, andai seseorang Muslim itu memiliki seribu dalih dan alasan untuk tidak mahu melaksanakan sesuatu perkara, ia tetap mustahil untuk dilaksanakan walaupun hakikatnya perkara tersebut merupakan sesuatu yang mudah.

Seseorang Muslim yang mahu bertaubat daripada melakukan dosa-dosa yang kebiasaannya dilakukan, tetap akan berjaya menghindari dirinya daripada melakukan dosa-dosa tersebut, selagimana dirinya tidak berputus asa bertaubat walaupun tetap mengulangi kesilapan yang sama.

Seseorang Muslim yang menyayangi isterinya kerana Allah SWT atas ikatan yang suci, tetap akan berjaya mencari masa dan akan mengingati tarikh penting seperti ulang tahun perkahwinan dan sebagainya, meskipun tersepit dalam kesibukan yang mencengkam dirinya.

Begitulah juga perihalnya seseorang Muslim, yang tetap mampu mengangkat selimut yang diperbuat daripada bahan yang ringan, namun tiba-tiba menjadi berat di waktu Subuh, dek rintikan-rintikan hujan yang menambahkan keseronokan tidur.

Sesungguhnya, mustahil atau tidak sesuatu perkara itu, hanya ditentukan oleh mind set pemikiran manusia sahaja. Manusia bebas memilih, sama ada seribu daya ataupun seribu dalih.