Nasi Daging Air Asam Utara Jamu Tetamu Di Aidiladha

Jika anda berasal dari Utara Semenanjung, Nasi Daging Air Asam Utara ini sudah pasti sering dinikmati. Lebih-lebih lagi pada musim perayaan.

Kelazatan hidangan ini terletak pada keempukkan daging dan air asamnya. Jika dua elemen ini tidak menjadi, hidangan ini boleh dikatakan gagal.

Kalau banyak dapat daging korban nanti, apa kata cuba masak sendiri menu Nasi Daging Air Asam ini. Boleh jamu saudara-mara atau kenalan yang datang bertandang nanti.

Resipi ini dipetik daripada https://iresipi.com/ dan ia dikongsi oleh Che’Nom. Masa penyediaan bahan-bahan ialah 30 minit, masa memasak pula hanya 20 minit. Saiz hidangan ini cukup untuk enam orang dewasa.

 

Bahan-Bahan:

1) 4 cawan beras basmathi, rendam selama 30 minit dan tos

2) 500 gram daging, potong kiub besar anggaran 3 inci x 4 inci

3) 5 cawan air rebusan daging

4) 1 cawan susu cair

5) 1 helai daun pandan, dicarik dan simpul

6) 2 1/2 sudu besar rempah kurma

7) 1 batang serai, dititik

8) 3 sudu besar minyak sapi

9) 1 -2 sudu besar minyak sayuran

10) 1/2 cawan sup tomato atau 1/4 cawan tomato puri

11) Sedikit kismis hitam

 

Bahan untuk rebusan daging:

1) 1 sudu besar rempah kurma

2) 2 inci halia, dihiris nipis

3) Air dalam anggaran 7 cawan lebih

 

Bahan untuk ditumis:

1) 1 biji bawang besar, dihiris nipis

2) 5 ulas bawang putih, dihiris nipis

3) 3 kuntum bunga lawang

4) 2 batang kayu manis

5) 4 kuntum bunga cengkih

6) 6 biji buah pelaga

 

Bahan untuk air asam:

1) 1 biji bawang besar, dihiris nipis

2) 2 biji tomato, dipotong kecil

3) 6 biji cili merah, dipotong kecil

4) 1 inci belacan, dibakar di atas api sehingga wangi

5) 1 mangkuk kecil air perahan asam jawa yang pekat

6) 2 sudu besar sos ikan Thai

7) 3 sudu besar gula

8) 1 hingga 2 sudu kecil garam

9) 1 sudu besar kerisik

10) Sedikit perahan jus limau nipis

 

Cara untuk memasak:

1) Rebus daging bersama air, halia dan rempah kurma sehingga empuk. Angkat dan ketepikan.

2) Panaskan minyak sapi dan minyak sayuran di dalam periuk. Tumis bahan tumis bersama 3 sudu besar serbuk kurma, serai dan daun pandan. Kacau sehingga naik bau dan kemudian masukkan beras yang telah ditos. Kacau lagi beras selama 1-2 minit.

3) Masukkan air rebusan daging bersama susu cair, sup tomato, kismis, daging yang direbus tadi dan juga garam secukup rasa. Kacau sedikit supaya sebati dan tutup. Masak di atas api sederhana. Kaedah yang sama jika anda menggunakan periuk nasi. Pindah ke tapak periuk elektrik pada tahap ini dan biarkan nasi masak.

4) Setelah masak, gemburkan nasi supaya tidak berketul.

 

Cara untuk air asam:

Gaulkan kesemua bahan air asam. Biarkan seketika supaya semua bahan air asam sebati.

Kredit foto : https://iresipi.com/