Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Nasi Kucing, Bakpia Mesti Cuba Kalau ke Yogyakarta

Singgah Rahayu Mat Nah 11-Okt-2019

Kota Yogyakarta yang juga dikenali sebagai Jogja, Yogya, dan Jogjakarta merupakan sebuah kota yang terletak di Kepulauan Jawa Indonesia. Dengan kepadatan penduduk mencapai 413,961 (sehingga Disember 2018), kota ini ternyata tidak pernah sunyi daripada kehadiran pelancong yang ingin menikmati keunikan budaya dan citarasa penduduk tempatan.

Satu satu budaya atau aktiviti malam yang cukup popular di kalangan warga kota Jogjakarta ialah menikmati makan malam bersama keluarga dan teman-teman di angkringan. Angkringan merupakan gerai-gerai makan di tepi jalan yang menghidangkan ‘Nasi Kucing’  berserta lauk-pauk kegemaran masyarakat tempatan.

Bermula jam 5.00 petang hingga lewat malam, Jalan Malioboro akan sesak dengan penduduk yang mahu menghabiskan masa bersama teman-teman sambil menikmati hidangan makan malam super jimat.

Kalau anda hendak tahu, Nasi Kucing merupakan hidangan yang cukup sederhana, tetapi punya keunikkan tersendiri. Dikenali sebagai ‘Nasi Kucing’ kerana hidangan itu dibungkus kecil-kecil seolah-olah saiz hidangan nasi yang sering diberikan kepada kucing peliharaan.

Nasi Kucing yang mencerminkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat ini dijual pada harga yang cukup murah iaitu sekitar Rp3000(RM0.90) ke Rp10000 (RM3.00).

Nasi Kucing kebiasaanya ditambah sambal, ikan, dan tempe, lalu dibungkus menggunakan daun pisang. Namun, untuk menambah selera, terdapat banyak lauk-lauk lain yang boleh dibeli untuk dinikmati bersama Nasi Kucing’. Lauk-lauk tambah ini juga dijual pada harga yang murah.

Pengalaman makan di angkringan ternyata memang menyeronokkan. Lebih-lebih lagi jika menikmatinya dengan bersila di lantai. Jika datang bersama rakan-rakan, sebungkus nasi memang tidak cukup, paling kurang tiga bungkus. Sambil menikmati hidangan, akan ada pemuzik-pemuzik jalanan yang akan menghiburkan.

Bagaimana dengan tahap kebersihan? Tepuk dada tanya selera. Jika anda mempunyai perut sensitif, mungkin anda perlu berhati-hati dalam memilih angkringan. Satu tip untuk anda, pilih angkringan yang bersih dan terkenal di kalangan penduduk setempat. Buat carian di internet terlebih dahulu untuk dijadikan panduan.

Antara angkringan popular di kota Yogjakarta adalah Angkringan Lek Man, Angkringan Pak Jabrik, Angkringan Wijilan, Angkringan Pak Jack dan Angkringan Kopi Joss Lik Man.

 

Beli Bakpia Untuk Ole-ole

Bagi anda yang gemar membeli ole-ole untuk dibawa pulang, cuba lari daripada kebiasaan. Daripada membeli rantai kunci, magnet peti sejuk, atau t-shirt, apa kata anda beli bakpia yang merupakan salah satu makanan istimewa di Kota Yogjakarta. Sekurang-kurangnya teman-teman atau saudara-mara boleh menikmati menu negara seberang.

Kuih berbentuk bulat ini mempunyai pelbagai perisa dan ia mudah dibawa pulang kerana dipek di dalam kotak kecil.

Jika diperhatikan, biskut yang biasanya berintikan kacang hijau, keju atau kacang merah ini punya persamaan dengan sejenis biskut masyarakat Cina. Selepas buat carian di internet ternyata biskut ini ada kena-mengena dengan masyarakat Cina.

Menurut Wikipedia, Bakpia adalah makanan yang dibuat daripada campuran kacang hijau dengan gula, yang dibungkus dengan tepung, lalu dipanggang. Istilah Bakpia sendiri adalah berasal dari dialek Hokkien, iaitu dari kata ‘bak ’yang bermaksud daging dan ‘pia’ yang bermaksud kuih.

Kalau versi original, Bakpia berintikan daging babi, tetapi memandangkan masyarakat Yogyakarta majoritinya beragama Islam, jadi ia telah diubah suai bagi menepati citarasa tempatan.

Bakpia boleh dibeli di Jalan Malioboro. Banyak gerai-gerai tepi jalan yang menjual menu popular ini dengan harga sekitar Rp20,000 ke Rp30,000 untuk sekotak yang berisi 20 biji.

Bagaimanapun, jika anda mementingkan kualiti dan rasa, lebih baik beli Bakpia Premium yang boleh didapati di kedai-kedai istimewa seperti Bakpia Pathok 25, Bakpia Kencana, Bakpiaku, Bakpia Djava, Bakpia Citra Premium, Bakpia Merlino dan Bakpia Kurnia Sari.

Bagaimanapun, Bakpia versi premium ini harganya lebih mahal iaitu sekitar Rp28,000 sekotak (10 biji).

 

Foto : Rahayu Mat Nah