Nasi Lemak hidangan Malaysia

Makanan Chan Abdullah 12-Sep-2020
dreamstime_s_178855677
Nasi Lemak Daun Pisang © Tiam Seong Yew | Dreamstime.com

Nasi Lemak ialah sajian tradisi masyarakat Melayu. Kini di Malaysia, nasi lemak ini menjadi pilihan hampir semua kaum, bukan setakat masyarakat Melayu sahaja. Jika dahulu, nasi lemak hanya dihidangkan untuk sarapan, kini ianya boleh didapati hampir setiap masa dan setiap hari.

Hidangan Nasi Lemak ini biasanya dihidangkan dengan telur, timun, ikan bilis goreng, kacang goreng dan sambal. Apa yang membezakan nasi lemak dengan nasi putih biasa ialah cara memasak nasi lemak yang menggunakan santan bagi menggantikan air. Daun pandan dan halia turut digunakan bagi menambah perisa dan aroma.

Sekarang Nasi Lemak sudah mempunyai pelbagai variasi dan juga semakin dimodenkan. Pelbagai lauk pauk dijual untuk dimakan bersama-sama nasi lemak. Antara yang terkenal ialah ayam rempah, rendang ayam atau daging, sambal sotong, sambal udang dan juga sambal paru. Penambahan variasi lauk untuk dimakan bersama nasi lemak ini menyebabkan nasi lemak semakin menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

Bukan sekadar hidangan warung-warung di tepi jalan, Nasi Lemak juga turut menjadi hidangan istimewa di restoran dan hotel-hotel terkenal.

Lebih membanggakan apabila Nasi Lemak turut disenaraikan oleh Majalah Time pada tahun 2016 sebagai salah satu dari 10 makanan tersihat di dunia. Laporan majalah yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menyatakani nasi lemak mengandungi pelbagai khasiat dan nutrisi untuk tubuh badan manusia.

Menurut Majalah Time lagi, walaupun Nasi Lemak sedikit berlemak ianya merupakan satu hidangan yang seimbang kerana mempunyai sumber protein dan juga karbohidrat. Malah hidangan sampingan seperti telur mempunyai kandungan Omega-3 yang tinggi. Selain itu kandungan cili di dalam sambal juga mampu membantu meningkat metabolisme tubuh seseorang.

Pengiktirafan terhadap sajian warisan di Malaysia ini, sekali gus menjelaskan bahawa Nasi Lemak sebenarnya bukanlah suatu hidangan yang tidak sihat. Walaupun begitu pengambilan nasi lemak perlulah dikawal supaya tidak berlebihan dan akhirnya menjadi punca penyakit pula.

Nasi Lemak sememangnya lebih menarik dan enak jika dihidangkan dan dibalut di dalam daun pisang. Harga nasi lemak yang berpatutan selain lazat dan mengenyangkan turut menjadi sebab utama mengapa ianya begitu digemari rakyat Malaysia.

Saya penggemar Nasi Lemak Daun Pisang, bagaimana dengan anda?