Nasi lemak pilihan sihat dan seimbang

Selera Hanita Hassan 27-Apr-2020
Nasi lemak daun pisang © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Nasi lemak adalah menu sarapan pagi yang popular di Malaysia.  Ia adalah hidangan pagi yang menyelerakan serta lengkap untuk khasiat tubuh badan. Majalah TIME sekitar tahun 2016 telah mengiktiraf nasi lemak sebagai salah satu daripada 10 makanan paling sihat di dunia.

Mungkin agak pelik mendengar namanya, tetapi percayalah, sekali mencuba anda boleh jatuh cinta. Aroma santan dan daun pandannya sahaja sudah memukau anda, apatah lagi apabila ia masuk ke dalam mulut. Biarpun makanan ini sedikit berlemak, seiring dengan namanya, namun ia seimbang kerana kaya dengan sumber protein dan karbohidrat.

Hidangan nasi lemak lengkap mengandungi empat komponen makronutrien iaitu karbohidrat, protein, lemak serta serat.  Makronutrien lengkap akan memastikan tubuh dapat berfungsi dengan baik. Sambal yang dihidang bersama nasi lemak dapat meningkatkan kadar metabolisme anda sebagai penggemarnya.  Selain sambal, nasi lemak juga hadir bersama telur yang kaya dengan omega-3, ikan bilis yang digoreng garing serta timun.

Pemilihan makanan sihat serta dijamin halal amat dititikberatkan oleh Islam.   Firman Allah SWT dalam al-Quran telah dengan jelas menyatakan bahawa makanan tidak hanya berfungsi untuk menjaga kesihatan dan kesinambungan hidup, tetapi juga berpengaruh membentuk keperibadian dan karektor anda.

“Wahai orang-orang yang beriman!  Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Islam diturunkan sesuai dengan fitrah manusia yang mengimbangkan tuntutan jasmani dan rohani.  Islam juga telah memberi pelbagai panduan jelas dalam kehidupan termasuk dalam hal berkait langsung dengan makanan dan pemakanan.  Dalam al-Quran ada memperinci secara khusus keistimewaan sesetengah jenis makanan. Antaranya termasuklah susu, kurma, anggur, madu, jagung, bijirin dan buah zaitun.

Selain halal haram, al-Quran turut menyentuh panduan berkenaan hidangan seimbang yang merangkumi semua zat berguna untuk pertumbuhan badan, memperbaiki tisu-tisu badan, memperkuat tubuh dan mengelak daripada penyakit berjangkit. Berlandaskan pendekatan sains, anda disaran memakan makanan daripada empat kumpulan asas iaitu kumpulan susu, daging, bijirin dan roti serta kumpulan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Dalam Islam, makanan seimbang merujuk kepada makanan untuk jasmani dan rohani.  Makanan rohani ialah ilmu yang bermanfaat, iman dan amal ibadat kepada Allah SWT. Seorang muslim yang cerdik, hanya makan makanan yang secukupnya untuk meneruskan kehidupan, bukan sebaliknya.  Bersederhana dalam semua perkara dengan mengamalkan nilai-nilai yang telah dianjurkan oleh Islam.

Apabila anda suka makan sesuatu makanan, belajarlah membuatnya agar boleh dibuat hidangan berbuka puasa. Jika suka dengan nasi lemak, belajarlah memasaknya terutama ketika kita melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.  Ia bukan sahaja mengelakkan anda daripada melakukan pembaziran dengan membeli di kedai, tetapi juga dijamin kebersihan dan kehalalannya.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!