Natugee & Mrs Malaysia World Didik Wanita Agar Sihat Dengan Gembira

Natugee, jenama produk penjagaan wajah berasaskan organik bergabung bersama Mrs Malaysia World baru-baru ini menganjurkan acara tanggungjawab sosial korporat bersempena kempen Pinktober yang bertujuan untuk untuk memperingati dan memberi kesedaran mengenai kanser payudara.

Penganjuran ‘Healthy Is The New Happy! A Better You Today’ diadakan untuk memperkasakan kesihatan wanita. Ia sebagai dorongan untuk meningkatkan kualiti hidup wanita serta memberdaya peranan penting mereka dalam membentuk pemimpin masa depan demi kehidupan yang aman dan harmoni.

Acara ini juga diadakan atas keprihatinan kedua-dua organisasi terhadap masalah kesihatan mental di kalangan wanita yang jumlahnya semakin hari semakin meningkat.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Natugee Sdn Bhd, Puan Rena Rifaee, seorang wanita memikul peranan yang besar hingga mengabaikan kesihatan diri sendiri.

“Bukan sahaja sebagai isteri dan ibu tetapi dalam masa yang sama mereka juga anak kepada orang tuanya, pekerja atau juga dia memiliki perusahaannya sendiri, dia adalah majikan. ‘Topi’ mereka kerap kali bertukar pakai bererti tanggungjawab yang perlu dilaksanakan juga semakin bertambah. Jika mereka tidak tahu cara untuk mengendalikan emosi dengan baik, ia boleh menyebabkan depresi,” ujar beliau.

Oleh sebab itu, penting untuk setiap wanita memastikan kesihatan sentiasa baik, bukan sahaja fizikal tetapi juga kesihatan mental kerana ia memberi impak ke atas diri sendiri dan mereka di sekelilingnya.

“Besar harapan kami, acara ini dapat mendidik wanita untuk tidak mengambil ringan terhadap kesihatan diri. Contohnya penggunaan produk penjagaan wajah. Kita mungkin tidak tahu bahawa ada sesetengah kandungan di dalam produk kecantikan yang boleh mengganggu hormon, seterusnya boleh menjejaskan kesihatan dalaman mahupun luaran.

“Kami ingin membantu para wanita dengan mencipta kesedaran mengenainya dan seterusnya membina keyakinan dan kekuatan diri dalam menempuh cabaran dunia hari ini,” tambahnya.

Inilah yang menjadi faktor pelbagai pengisian dalam acara ‘Healthy Is The New Happy! A Better You Today’.

Sesi pertama bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Radiant Clinique, Dr. Linda Mat Hassin memberi pendedahan kepada peserta mengenai simptom ketidakseimbangan hormon yang memberi kesan kepada kesihatan dan gaya hidup.

Sesi kedua bersama Puan Rena Rifaee mendidik wanita mengenai salah tanggapan mengenai produk penjagaan wajah. Walaupun ia bersifat kosmetik, namun tidak dinafikan ia antara penyumbang kepada permasalahan wanita.

Acara kemuncak ialah forum ‘A New Formula For Happiness!’  yang membincangkan mengenai kesihatan kulit, hormon, pengurusan stres dan kesihatan mental. Ia melibatkan empat ahli panel yang terdiri daripada Puan Rena Rifaee, Dr.Linda Mat Hassin, Datin Harveen Kaur (Mrs Malaysia World 2017 yang kini adalah Pengarah Kebangsaan Mrs Malaysia World 2019) dan pelakon popular, Diana Danielle.

 

Foto: Natugee Sdn Bhd