Neelofa Tercalon Di Anugerah Influencer Monaco 2019

Khabar gembira buat pengacara dan pengusaha hijab, Neelofa apabila beliau dicalonkan menerusi kategori Entrepreneur dalam anugerah berprestij di peringkat antarabangsa, Influencer Awards 2019 Monaco.

Bakal diadakan di Monaco pada 5 dan 6 Oktober, Neelofa mengakui tidak menyangka tercalon dalam anugerah yang di pengerusikan oleh keluarga diraja Monaco.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka tercalon dalam anugerah ini. Selain dikelolakan oleh keluarga diraja dan diadakan di luar negara, majlis anugerah ini juga bakal dimeriahkan dengan calon-calon lain daripada negara-negara berbeza.

“Tentulah, jika menang, ia bakal menjadi satu yang besar kepada saya. Tetapi, saya mahu ke sana kerana merasakan ia masa yang sesuai untuk berjumpa dengan individu-individu berpengaruh lain dan mengembangkan rangkaian saya.

“Insya-Allah, saya akan terbang ke sana kerana segala pengangkutan dan penginapan telah disediakan. Peluang ini bukan datang selalu, jadi saya sangat menghargainya. Saya juga berharap agar pencalonan ini dapat memberi inspirasi kepada orang Malaysia lain untuk bermimpi lebih besar dan mencari lebih banyak peluang,” katanya lagi.

Influencer Awards 2019 Monaco merupakan anugerah yang berprestij. Ini merupakan penganjuran kedua selepas diadakan dengan jayanya pada tahun lalu.

Anugerah ini direalisasikan oleh Pauline Ducruet iaitu anak sulung kepada Puteri Monaco, Stephanie dan beberapa individu lain seperti Lolita Abraham, Maxime Giaccardi dan Thomas Peters.

Influencer Awards 2018 Monaco diadakan pada 7 Oktober 2018 di Hotel Meridien Beach Plaza. Sebanyak 27 anugerah telah diserahkan pada majlis tersebut.

Antara pemenang pada majlis tersebut termasuklah blogger fesyen dari Perancis, Caroline Receveur (kategori Lifestyle) dan jurumekap Kim Kardashian, Mario Dedivanovic (kategori Make-Up Artist influencer).

Tahniah buat Neelofa dari SalamToday Malaysia. Semoga Neelofa dapat mengharumkan nama Malaysia di Monaco Oktober nanti!

 

Foto : Instagram Neelofa