Neeta, Han Byul, Dinda, Adzrin & Irfan Finalis Big Stage 2019

Pertandingan nyanyian yang mempertaruhkan bakat-bakat baru serantau iaitu Big Stage 2019 bakal melabuhkan tirainya pada minggu hadapan.

Semalam seluruh Malaysia telah menyaksikan lima finalis yang telah berjaya melangkah ke peringkat akhir bagi merebut gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000.

Kelima-lima finalis berkenaan adalah Neeta, Han Byul (peserta dari Korea Selatan), Dinda Permata (peserta dari Indonesia), Adzrin dan Irfan Haris.

Nasib tidak menyebelahi dua lagi bintang muda iaitu Fieya Julia dan Kucaimars apabila kedua-dua mereka telah diumumkan tersingkir di peringkat separuh akhir.

Markah keseluruhan dari juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika serta juri jemputan iaitu Tam Spider telah meletakkan Neeta di tempat yang pertama, diikuti oleh Han Byul di tempat kedua serta Dinda Permata di tempat yang ketiga.

Semalam kesemua mereka diberi dua tugasan iaitu persembahan solo serta duet bersama artis undangan.

Kemaraan Neeta dan Han Byul juga memang sudah dijangka kerana mereka berdua sering memberikan persembahan yang konsisten setiap minggu. Malah mereka berdua disebut-sebut sebagai calon juara Big Stage 2019.

Irfan Haris pula terselamat daripada menjadi mangsa penyingkiran malam semalam kerana mendapat jumlah undian tertinggi di antara semua peserta.

Jangan lupa untuk saksikan konsert akhir Big Stage 2019 yang akan berlangsung pada hari Ahad, 5 Oktober 2019 jam 9 malam di saluran Astro Ria.

 

Kredit For : Instagram Big Stage 2019 & Astro Gempak