Negara Tunisia: Antara negara Arab termoden dan filem Star Wars

Afrika Md Wa'iz
Md Wa'iz
Rumah Troglodyte dan gua bawah tanah di Sidi Driss, Matmata, Tunisia
Rumah Troglodyte dan gua bawah tanah di Sidi Driss, Matmata, Tunisia © Konstantin Litvinov | Dreamstime.com

Tahukah anda, keunikan yang dimiliki oleh negara Tunisia menjadikannya sebagai lokasi pilihan penggambaran filem terkenal Star Wars? Apa yang begitu menarik mengenai negara ini?

Tunisia bukan saja salah satu di antara negara Arab paling moden, malah banyak lagi keunikannya. Inilah fakta negara Tunisia yang anda kena tahu.

Tunisia ditakluki pelbagai kuasa dunia

Tunisia merupakan sebuah negara Arab yang didiami bukan sahaja bangsa Arab, tetapi pelbagai bangsa lain. Menurut sejarah, negara ini sememangnya sudah didiami oleh bangsa Arab Berber sejak daripada awal lagi.

Namun, orang-orang Berber tidak pernah menghalang kedatangan bangsa lain untuk menetap di kawasan ini. Pada abad ke-12 sebelum Masihi, orang-orang Phoenician telah berhijrah ke kawasan Tunisia dan mengasaskan bandar Carthage.

Kemudiannya, bandar Carthage ini ditakluk oleh Kerajaan Rom dan Tunisia dikawal oleh Rom selama 800 tahun. Pada tahun 647 Masihi, orang-orang Islam pula datang ke Tunisia dan telah memperkenalkan Islam secara meluas di Tunisia.

Selepas daripada itu, giliran Kerajaan Turki Uthmaniyah pula datang menakluki Tunisia sebelum dijajah oleh Kerajaan Perancis pada tahun 1881. Tunisia akhirnya mendapatkan kemerdekaannya pada tahun 1957 daripada pihak Perancis.

Tunisia jadi set penggambaran filem Hollywood

Salah satu daripada fakta negara Tunisia ialah, kegemaran pengarah filem Hollywood memilihnya sebagai set penggambaran filem mereka.

Salah satu sebab mengapa Tunisia kerap menjadi pilihan utama adalah keunikan latar belakang persekitaran yang dimiliki oleh negara ini. Antara filem terkenal yang diarahkan di sini ialah siri filem Star Wars.

Dikatakan sebanyak enam buah filem Star Wars telah menjalani penggambaran di Tunisia. Antara filem terkenal lain yang menjalani penggambaran di Tunisia ialah Indiana Jones: Raiders of the Lost Ark. 

Matmata di Tunisia, penempatan unik bawah tanah

Matmata adalah sebuah penempatan yang didiami oleh masyarakat Arab Berber. Sehingga tahun 2004, dianggarkan sekitar lebih daripada 2000 orang yang mendiami kawasan ini.

Apa yang menarik mengenai Matmata ialah, ia adalah sebuah penempatan bawah tanah yang dibina dengan cara menggali lubang besar. Kemudian, daripada lubang besar yang telah digali ini, mereka akan menggali gua-gua atau bilik kecil untuk dijadikan rumah kediaman.

Kawasan kediaman ini bertahan daripada musim kemarau, hujan lebat dan juga musim sejuk. Malah, kawasan Matmata ini juga telah diberikan perlindungan di bawah Kerajaan Tunisia.

Hotel Sidi Driss di Matmata telah digunakan sebagai rumah Luke Skywalker dalam filem Star Wars. Ini merupakan salah satu fakta menarik negara Tunisia yang mungkin tidak pernah anda ketahui sebelum ini.

Antara negara Arab paling moden

Mungkin ramai daripada kita yang sememangnya tidak pernah menjejaki dan melihat bumi Tunisia di depan mata. Namun, ia tidak menghalang kita untuk mengetahui bahawa Tunisia adalah antara negara Arab paling moden dalam dunia Arab. Malah, Tunisia juga dianggap sebagai negara paling demokratik dalam dunia Arab.

Oleh sebab itu, ramai pelancong luar memilih untuk hadir ke negara ini disebabkan kestabilan yang dimilikinya. Tunisia juga mempunyai hubungan yang kuat dengan beberapa negara Eropah seperti Itali dan juga Perancis. Negara-negara ini banyak menolong Tunisia kearah pemodenan industri dan penswastaan.  

Boleh dikatakan Tunisia adalah antara negara paling stabil dalam kalangan negara-negara Arab. Malah, ia juga mempunyai pemandangan dan budaya yang memukau yang menarik minat ramai pelancong ke sana. Semoga kita diberikan kesempatan untuk melawat Tunisia, insya-Allah.