Neo Disiden Tampil Sisi Kehidupan Mafia

Fakulti Teater ASWARA dengan kerjasama 4 Element Resources bakal mementaskan sebuah teater Neo Disiden, sebuah naskah tulisan Siti Jasmina Ibrahim, graduan Fakulti Penulisan Aswara.

Teater yang diinspirasikan daripada naskhah agung William Shakepeare, Julius Caesar dan Tragedi Brutus, dan diadaptasikan ke sebuah dunia yang memperlihatkan kebangkitan sebuah generasi dalam perjuangan mereka.

Neo Disiden membawa makna penentangan baru merujuk kepada sebuah kelompok yang berpegang pada tradisi sebuah organisasi dari ancaman monarki dan diktator yang melanggar norma yang selalu diamalkan oleh mereka yang ada dalam organisasi.

Ianya digambarkan menerusi kehidupan sisi gelap organisasi mafia yang boleh berlaku di mana-mana.

Pementasan Neo Desiden adalah cetusan idea dari lahirnya pementasan teater Gedebe yang pernah diarahkan oleh Nam Ron dan dipentaskan pada tahun 2001 di Panggung Eksperimen ASWARA.

Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke 29, Pengarah Terbaik FFM ke 30, Pengarah Terbaik Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) ini bertindak sebagai Pengarah Artistik.

Pementasan kali ini diberi intrepretasi baru, sebuah dunia baru digambarkan menerusi sisi gelap pergerakan mafia berkonsepkan ‘noir’, kegelapan, kepincangan dan kepura-puraan.

Ianya dianggap bersesuaian konsep yang dibawa berbeza dengan konsep skinhead dan punk yang ditampilkan dahulu.

Teater yang diarahkan oleh Khairunzawan Rodzy ini menggabungkan kembali Alumni Aswara yang juga merupakan graduan teater yang telah pun mencipta nama dalam industri seni.

Antaranya Nam Ron, Amerul Effendi (Pelakon Pembantu Terbaik AIFFA), Rosdeen Suboh (Pelakon Terbaik FFM Ke 30), Taiyuddin Bakar, Along Eyzendy, Mustakim Mohamad, Muhamad Shaqirin dan juga 20 pelajar Diploma Teater Tahun 2.

Kredit foto : Produksi Neo Disiden