Nezha Tampilkan Kelainan Animasi Negara China

Filem animasi sentiasa mendapat tempat di kalangan peminat seluruh dunia. Ini terbukti lewat ratusan filem animasi atau kartun yang pernah ditayangkan sepanjang dekad lalu. Malah, filem genre ini bukan sahaja menjadi kegemaran kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa.

Selama ini, kehebatan filem animasi dari barat khasnya terbitan Dreamworks dan Disney kerap kali menjadi taruhan di pawagam untuk memancing keuntungan. Namun tahun ini, sebuah filem animasi berjudul ‘Nezha’  terbitan sepenuhnya syarikat Pearl Studios di China berjaya mencuri perhatian penonton.

Diangkat dari kisah legenda serta kepercayaan agama Cina purba, Nezha mengisahkan seorang anak kecil yang lahir dari serpihan kuasa para dewa-dewi. Wataknya bukanlah sesuatu yang asing buat kaum Cina kerana dia memang dikenali dalam kepercayaan agama Taoisme.

Dalam animasi hebat ini, cerita bermula dengan peraduan kuasa di dunia para dewa dan bagaimana serpihan kuasa tersebut diserahkan kepada golongan manusia untuk dibendung. Namun gara-gara niat jahat, kuasa itu ‘terlepas’ dan masuk ke dalam kandungan seorang wanita bangsawan yang kemudian melahirkan seorang bayi lelaki dengan kuasa ajaib.

Bayi yang lahir itu membesar menjadi seorang anak kecil bernama Nezha yang digeruni penduduk setempat kerana kuasanya yang luar biasa. Namun menurut ramalan, Nezha yang lahir dari serpihan kuasa jahat itu ditakdirkan mati dengan disambar kilat tiga tahun selepas kehidupannya.

 

Sepanjang penceritaan, filem ini menampilkan aneka adegan hebat yang penuh dengan kesan visual menarik. Mirip filem-filem animasi barat, Nezha berjaya membuktikan yang filem terbitan negara China juga mampu bersaing dengan filem animasi lain kala filem ini teguh mengumpul keuntungan terbesar di pawagam filem dalam sejarah tayangan gambar China.

Lebih menarik lagi, di akhir filem terdapat sedutan yang menunjukkan bahawa filem ini bakal bersambung dengan beberapa sekuel seperti filem-filem animasi di Hollywood.

Jadi buat anda yang ingin berhibur dan menghargai kesan visual hebat dalam animasi, pastikan Nezha menjadi filem yang akan anda tontoni.

Nezha sudahpun mula ditayangkan dia pawagam seluruh Malaysia bermula 26 September ini.