Nikmat menjaga orang sakit

Kesihatan Hanita Hassan
Pendapat oleh Hanita Hassan
Nikmat menjaga orang sakit
Nikmat menjaga orang sakit © Joe Trakul | Dreamstime.com

Bersyukurlah sekiranya anda dipilih Allah SWT untuk menjaga orang yang sakit.  Ia adalah rahmat dan nikmat yang cukup besar. Dalam satu hadis menceritakan bahawa para malaikat mendoakan orang yang menziarahi orang sakit, apatah lagi bagi mereka yang menjaga orang yang sakit, pasti akan dikurnia dengan pahala dan ganjaran yang luar biasa.

Sudah tentu menjaga orang sakit adalah cabaran yang sukar. Anda perlu menghadapi karenah pesakit yang terkadang cemas dan sedih, adakalanya marah, suka merungut dan murung.  Dalam banyak keadaan, anda memerlukan tingkat kesabaran yang tinggi dan semangat yang kental untuk mengurus mereka.

Nikmat menjaga orang sakit

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:

“Tiada seorang pun yang menziarahi saudara seIslamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang.  Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi.”

(Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Contoh paling dekat apabila ibu anda sakit. Sebagai anak, anda sepatutnya bergilir-gilir menjaganya. Sewaktu anda kecil, ibu sanggup melakukan apa sahaja sekiranya anda sakit. Dia sanggup berjaga sepanjang malam untuk memastikan anda sihat. Ketika ibu anda sakit, inilah masanya untuk membalas segala jasa dan kebaikan yang pernah dicurahkan.

Katalah ibu anda mempunyai lima orang anak dan masing-masing sibuk dengan kerja dan kehidupan mereka. Maka anda adik-beradik buatlah jadual supaya semua orang dapat menjaga ibu.

Begitu besar rahmat Allah SWT menjaga ibu yang sedang sakit. Beruntunglah anda kerana terpilih. Anda boleh mandikan ibu, ambilkan wuduknya untuk dia solat, berikan kata-kata semangat dan peransang kepada ibu supaya dia tidak putus asa dan bersangka baik dengan ujian Allah.

Terapi kerohanian

Orang yang sakit memerlukan terapi kerohanian.  Untuk berjaya menjaga dan mengurus orang sakit, anda juga perlu mempunyai nilai ehsan yang tinggi dalam diri supaya dapat meletakkan diri pada kedudukan mereka yang sakit. Adab terhadap orang yang sakit perlu dijaga.

Sebagai orang yang rapat dengan pesakit, anda perlu memainkan peranan supaya pesakit tidak terasa terbeban menghadapi dugaan sakit. Ini kerana emosi orang yang sakit mudah tersentuh. Berbuallah dengan nada yang menenangkan.

Jangan sesekali menengking atau memukulnya.  Sesungguhnya dosa orang yang sakit diampunkan Allah Taala dan dengan ketenangan dapat membantu mereka reda dengan ujian-Nya.

Sakit adalah ujian kepada keluarga

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:  “Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali.”

(Surah al-Baqarah, ayat 156)

Benarlah bahawa sakit juga adalah ujian kepada ahli keluarga. Sekiranya anda dapat mengambil bebanan ini sebagai tanggungjawab, ganjaran Allah Taala cukup besar. Anda juga boleh menyertai kumpulan sokongan yang disarankan oleh doktor bagi meringankan beban berkongsi masalah dan pengalaman menjaga pesakit.

Dalam masa yang sama, carilah masa untuk diri sendiri supaya anda dapat bertenang dan menerima setiap ujian itu dengan sabar dan tabah.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.