Nikmati Aneka 500 Menu Di Food Station

Bagi warga kota yang bekerja di sekitar Kuala Lumpur Sentral, anda kini mempunyai lebih pilihan untuk lokasi makan tengah hari di kawasan yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai itu.

Food Station, yang terletak di Jalan Tun Sambanthan, menawarkan 500 menu Melayu, Thailand dan Barat yang pastinya memenuhi apa sahaja selera anda.

Menariknya, restoran tersebut dimiliki oleh pendakwah bebas yang juga pelakon, Riz Ismail, atau lebih dikenali sebagai PU Riz.

Terletak berhadapan dengan pusat beli-belah NU Sentral, di seberang jalan jejantas dari stesen monorel Tun Sambanthan, Food Station telah mula beroperasi sejak lapan bulan lepas.

“Kami menawarkan pilihan menu yang banyak bagi memenuhi keinginan setiap pelanggan yang datang ke sini agar mereka tidak terkilan kerana makanan kegemaran mereka semuanya ada di sini.

“Restoran ini boleh menempatkan sehingga 70 pelanggan dalam satu-satu masa, dan sering menjadi tumpuan warga kota yang bekerja di sekitar Kuala Lumpur Sentral,” ujar Riz yang mula dikenali menerusi program realiti, Pencetus Ummah (PU) musim keempat ini.

Tambah Riz, sejak dari awal pembukaan Food Station, dirinya memang tidak lepas tangan menguruskan restoran tersebut.

“Walau sesibuk mana pun, saya akan cuba bahagi masa untuk restoran ini.

“Saya turut berusaha mencari tukang masak terbaik sehinggakan saya pergi ke Kelantan.

“Banyak juga kos yang dilaburkan termasuk mengubah suai semula restoran ini kerana ia diambil dari sebuah kedai lama yang diuruskan pihak lain,” katanya.

Sementara itu, Riz turut menganjurkan ceramah agama di premis berkenaan dalam usahanya untuk menyuntik elemen kerohanian sambil menjamu selera.

Kelas agama tanpa bayaran tersebut diadakan sebulan sekali iaitu pada hari Rabu atau Khamis, minggu ketiga atau keempat setiap bulan.

Peserta hanya perlu membayar apa yang mereka makan dan air disediakan secara percuma.

Food Station beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.

Maklumat lanjut boleh didapati dari laman Instagram: @fooodstation.

Foto: Food Station