Nora Danish Tinggalkan OhMostWanted

Pelakon popular, Nora Danish baru-baru ini mengumumkan dia kini tidak lagi mempunyai kaitan lagi dengan produk kosmetik jenama OhMostWanted serta-merta sejak April lalu.

Menerusi kenyataan akhbar yang diemel kepada pihak media, Nora menjelaskan keputusan itu adalah langkah terbaik dan muktamad.

“Selepas memikirkan perkara ini semasak-masaknya dan di atas sebab tertentu, saya percaya apa yang dilakukan ini untuk kebaikan bersama.”

“Saya sendiri begitu mencintai perniagaan kosmetik dan mempunyai perancangan lain pada masa mendatang. Saya juga percaya penarikan diri ini memang tepat pada waktunya dan biarlah rakan kongsi yang lain meneruskan legasi yang dimulakan,” katanya.

Tambah Nora penarikan dirinya juga bukan kerana mempunyai masalah dengan rakan kongsi lain.

“Kami profesional dalam hal perniagaan. Apa yang dilakukan ini adalah atas  kehendak sendiri. Saya doakan mereka terus berjaya ,” ujar Nora lagi.

Nora juga berharap apa yang dijelaskan ini dapat memberikan pencerahan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini mahupun salah faham.

“Selepas ini sebarang imej atau nama saya tidak boleh digunakan oleh jenama itu lagi untuk apa saja tujuan promosi berkuatkuasa sejak 1 Mei supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan

“Pihak mereka mempunyai masa empat bulan untuk mengeluarkan gambar dan video saya dari tempoh kuat kuasa,” katanya.

Optimis dengan apa yang tertulis, Nora kini selesa memberi tumpuan kepada dua perniagaan lain termasuk mengusahakan Salun Karva dan jenama pakaian OwlbyNd.

Dalam perkembangan lain, pelakon drama ‘Imaan’ itu memilih untuk berehat di bulan Ramadan sekali gus memberi perhatian kepada keluarga.

“Masa saya banyak dihabiskan di rumah bersama keluarga. Ada kalanya kami sekeluarga berbuka di rumah atau memilih lokasi di luar,” ujar Nora.

Kredit foto : https://www.ohmostwanted.com/