Norish Kareem London Anjur NK Fashion Week di London

Jenama fesyen antarabangsa popular, Norish Kareem London akan menganjurkan acara fesyen antarabangsa di bawah label NK Fashion Week (NKFW) pada September ini bertempat di kota London.

Dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), NKFW adalah julung kali dianjurkan oleh jenama itu.

Pengasas Norish Kareem Couture, Norish Kareem Cosmetics dan Norish Kareem London, Norish Kareem berkata, acara itu akan disertai oleh penggiat industri fesyen dari dalam dan luar negara.

“Antara pereka dan jenama yang akan turut serta adalah  MW by Mimi Wahidah, Fana Couture, Lila Majnun, Angie Jewels & Co., Ummiriaz International, Liza Zulkarnain dan beberapa pereka lain dari dalam dan luar negara.

“Kami berharap ia akan berjalan lancar dengan sokongan dari semua pihak,” ujarnya.

Menerusi acara seperti itu, Norish Kareem berharap untuk menjadikan label NKFW sebagai satu penganjur fesyen antarabangsa yang mengadakan minggu fesyen di pusat fesyen dunia seperti London, Doha, New York, Paris dan Dubai.

NKFW juga dijangka diadakan di Doha, Qatar pada November ini dengan berkolaborasi dengan agensi kerajaan dari negara itu,” jelasnya.

Sementara itu, Norish Kareem turut berhasrat untuk mengetengahkan pereka-pereka fesyen Malaysia di pentas dunia dan memberi mereka pendedahan kepada industri fesyen antarabangsa.

Untuk itu, butik Norish Kareem London turut menyediakan ruang untuk para pereka di seluruh dunia  mempamerkan jenama mereka di kota London, sekali gus menembusi pasaran United Kingdom dan Eropah.

Ia tidak terhad hanya kepada pakaian, malahan kosmetik dan aksesori.

“Bukan mudah sesebuah jenama untuk menembusi pasaran antarabangsa seperti di kota London kerana saya pernah merasainya.

“Oleh itu, salah satu sumbangan saya kepada dunia fesyen adalah dengan memberi peluang kepada para pereka yang ingin menempatkan koleksi mereka di tengah-tengah kota London.

“Saya memberi keutamaan kepada pereka Malaysia yang ingin pergi ke peringkat global dan yakin terhadap jenama mereka,” ujar usahawan wanita yang berasal dari Malaysia dan menetap di London ini.

Para pereka yang berminat untuk menyertai NKFW boleh menghantar email ke: [email protected]

Foto: Norish Kareem Couture