Norma baharu di menara gading

Pendidikan Zalika Adam
Zalika Adam
Norma baharu di menara gading
Norma baharu di menara gading © Korrawin Khanta | Dreamstime.com

Semua pelajar mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke menara gading. Namun alangkah ruginya bagi mereka yang tidak mempunyai cita-cita tinggi. Masih ada remaja yang membuang masa tidak tahu arah tujuan.

Para pelajar baharu yang mula menjejakkan kaki ke universiti-universiti di Malaysia sudah memulakan sesi pengajian mereka dalam talian.

Norma baharu di menara gading

Bermula pada suku terakhir tahun lalu, dan ada juga universiti yang lebih awal satu atau dua minggu memulakan sesi pengajian. Suasana yang agak janggal dirasakan tatkala sesi pengajian dibuat secara dalam talian.

Banyak persoalan timbul di kalangan pelajar baharu berkaitan menambah atau menggugurkan kursus. Beberapa perkataan baharu ditemui sepanjang mendaftarkan diri di awal semester pengajian. Keadaan  memaksa mereka untuk memahami secara pantas beberapa istilah yang digunakan di peringkat universiti.

Seperti mengakses sistem i-student, mendapatkan bantuan zakat, menyertai kelab dan ko-korikulum dan sebagainya.  Jika mereka tidak mengambil cakna, alamatnya akan ketinggalan dengan arus baharu di menara gading di samping berhadapan dengan musim pendemik.

Ujian melanda dunia dengan wabak COVID-19, namun Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) perlu diteruskan walaupun terpaksa mengharungi dugaan. Buat pertama kalinya pelajar di tahun satu, belum mengenali universiti dan tenaga pensyarah bila memulakan pengajian dalam talian. Hal ini terpaksa dilakukan bagi mengelakkan wabak koronavirus COVID-19 berleluasa.

Sebagai contoh, sebelum menentukan tahap penguasaan Bahasa Arab, para pelajar dikehendaki mengambil peperiksaan ‘Imtihan Kafaah Lughah Arabiyyah (IKLA)’ atau dipanggil ‘Peperiksaan Pencapaian Bahasa Arab’.

Ini adalah peperiksaan yang perlu diambil oleh pelajar yang belajar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Namun, ada juga pelajar yang tidak mengambilnya kerana tidak memahami sistem atau tidak cakna akan keperluan universiti. Akhirnya, terpaksa menduduki tahap rendah walau mungkin boleh meneruskan ke tahap lebih tinggi.

Ilmu penting bagi menghadapi cabaran mendatang

Walaupun di peringkat sekolah sudah memulakan pengajian secara dalam talian, namun pelajar terpaksa berhadapan dengan norma baharu apabila berada di menara gading.

Oleh itu, para pelajar perlulah mempunyai semangat yang jitu untuk meneruskan pengajian. Kerana ilmu itu sangat penting bagi menghadapi cabaran yang mendatang.  Pepatah Arab ada mengatakan: “Tuntutlah ilmu walaupun ke negara Cina”.

Pepatah ini menjelaskan peri penting menuntut ilmu di mana sahaja. Dengan memiliki ilmu dapat meningkatkan pengetahuan, mengembangkan ilmu dan berbakti kepada bangsa dan negara.

Oleh itu, tuntutlah ilmu di mana sahaja. Penuntut ilmu akan diangkat darjatnya. Hal ini disebabkan terdapat perbezaan jelas antara orang berilmu dan tidak berilmu. Ilmu dapat memandu kita ke arah kebaikan, dipandang mulia dan menjadikan panduan dalam kehidupan harian.

Allah SWT berfirman, Maksudnya:

“… Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antaramu, dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat…”

(Surah al-Mujadalah, ayat 11)