‘Nur’ Menang Besar Di Anugerah DFKL2019

Drama rantaian yang mencetuskan fenomena luar biasa, ‘Nur’ telah menepati ramalan apabila berjaya memenangi enam anugerah di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019).

Daripada lapan pencalonan, drama ‘Nur’ berjaya membawa pulang anugerah Drama Pilihan, Pengarah Pilihan (Shahrulezad), Pelakon Lelaki Pilihan (Syafiq Kyle), Pasangan Pilihan (Syafiq Kyle & Amyra Rosli), Antagonis Pilihan (Azhan Rani) dan Penulis Skrip Pilihan (Shahrulezad).

Namun ramai peminat drama rantaian popular itu agak sedikit terkilan apabila aktres utamanya iaitu Amyra Rosli yang memegang watak ‘Nur’ tewas di tangan pemegang rekod kemenangan tiga kali, Janna Nick.

Shahrulezad sewaktu ditemui ketika sidang media berkata, dia tidak pernah menyangka drama ‘Nur’ akan menjadi fenomena. Namun katanya, peranan media sosial serta sokongan dari pihak media banyak membantu menyumbang kejayaan kepada drama ‘Nur’.

Saya ingin berterima kasih kepada semua pengundi drama ‘Nur’. Saya percaya mereka adalah para peminat artis yang terbabit di dalam drama ‘Nur’. Sejujurnya saya sudah menjangkakan drama ‘Nur’ akan menang kerana ramai yang telah meramal kemenangannya. Tetapi saya menyukai drama ‘Andainya Takdir 2.’ Malah saya telah mengundi untuk drama tersebut“, jelas Shahrulezad.

Sementara itu Syafiq dan Amyra pula berpendapat bahawa ‘chemistry’ mereka yang kuat merupakan antara salah satu resepi kejayaan drama ‘Nur’.

Saya rasa penonton suka mesej yang ditonjolkan oleh drama ‘Nur’. Biarpun pada mulanya kami berdepan dengan kecaman daripada netizen, namun akhirnya mereka dapat mesej yang cuba disampaikan”, jelas Amyra.

Sekarang ini drama ‘Nur 2’ sedang rancak ditayangkan di TV3. Malah menurut Shahrulezad, momentum untuk sekuel ini lebih kuat berbanding yang pertama.

Saya agak takut apabila pihak stesen televisyen meminta untuk saya membuat sekuel drama ‘Nur’. Saya takut ia akan mematikan kehebatan ‘Nur’ yang pertama. Saya menyerahkan naskah jalan cerita kepada pihak stesen televisyen dengan harapan mereka akan menolak cerita saya. Namun yang terjadi sebaliknya,” kongsi Shahrulezad.

Shahrul juga berharap peminat dapat terus memberikan sokongan kepada drama ‘Nur 2’ yang menampilkan beberapa watak baru yang telah mencentuskan kontroversi.

Tahniah dari SalamToday untuk seluruh warga produksi drama ‘Nur’.