Oman, negara Arab dengan simpanan petroleum ke-25 terbesar dunia

Timur Tengah Md Wa'iz
Md Wa'iz
Muttrah di Muscat, Oman
Muttrah di Muscat, Oman © Typhoonski | Dreamstime.com

Oman atau secara rasminya Kesultanan Oman, merupakan sebuah negara yang terletak di tanah Arab. Negara Oman merupakan salah satu daripada negara Arab yang dikurniakan simpanan gas dan petroleum antara yang terbesar di dunia.

Selain petroleum, berikut adalah antara fakta menarik mengenai Negara Oman.

Pernah diperintah raja paling lama di Timur Tengah

Keluarga Diraja Al-Said telah memerintah Negara Oman sejak tahun 1744. Keluarga Al-Said adalah keluarga Diraja ketiga yang paling lama memerintah Oman. Almarhum Sultan Qaboos bin Said, bekas raja Oman merupakan raja pemerintah paling lama memerintah di Timur Tengah.

Almarhum Sultan Qaboos bin Said mula menaiki takhta pada tahun 1970 dan meninggal dunia pada 10 Januari 2020. Baginda telah memerintah Oman selama 50 tahun lamanya dan amat dikenali sebagai bapa pemodenan dan pembangunan Oman.

Kini, raja pemerintah Oman disandang oleh sepupunya iaitu Sultan Haitham bin Tariq Al-Said kerana Sultan Qaboos tidak meninggalkan sebarang waris.

Negara Oman lokasi pembuat bot dan kapal terkenal

Selain minyak, Oman juga amat dikenali dalam industri pembuatan bot dan kapal. Memandangkan Teluk Oman dan Laut Arab menjadi antara laluan perdagangan terpenting, banyak kapal-kapal akan melalui lautan ini membawa barangan dari seluruh dunia.

Oleh sebab itu, industri pembinaan dan pembaikian kapal amat berkembang di negara ini. Bukan sahaja kapal-kapal moden, tetapi Oman juga masih menghasilkan bot-bot tradisional yang kaya dengan unsur tradisi mereka.

Malah, orang Oman juga diiktiraf sebagai antara pembina kapal terbaik di dunia.

Orang Oman bekerja pada hari Sabtu dan Ahad?

Jika di negara lain, penduduknya akan berehat pada hari Sabtu dan Ahad. Namun di Oman, hari Sabtu dan Ahad juga adalah hari bekerja. Namun, ia tidaklah bermakna bahawa mereka bekerja tujuh hari seminggu.

Mereka bekerja pada hari Sabtu dan Ahad tetapi bercuti hujung minggu pada hari Khamis dan juga Jumaat. Hari Jumaat adalah hari di mana orang Islam beribadat dengan menunaikan Solat Jumaat pada waktu tengah hari.

Dengan itu, mereka menjadikan hari Jumaat sebagai hari berehat daripada bekerja dan lebih mudah untuk beribadah.

Bidang pertanian dan perikanan adalah pekerjaan utama 

Tahukah anda, walaupun Oman diiktiraf sebagai antara negara kaya di dunia, namun pekerjaan utama penduduknya adalah dalam bidang pertanian dan perikanan. Kebanyakan keluarga menjadikan pekerjaan dalam bidang ini sebagai punca pendapatan utama mereka.

Oleh sebab itu, bidang perikanan dan juga pertanian menjadi antara sumber ekonomi negara ini yang bukan sahaja membekalkan sumber makanan untuk Oman, tetapi negara jiran yang lain.

Hasil perikanan dan pertanian dieksport ke negara sekitar seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Industri petroleum di Oman

Oman mempunyai simpanan petroleum ke-25 terbesar di dunia. 71% daripada pendapatan kerajaan Oman adalah daripada hasil petroleum. Walaupun mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap hasil petroleum, Kerajaan Oman sudah mula menjana ekonomi negara mereka daripada bidang ekonomi yang lain.

Oman ialah salah satu contoh tempat di mana kesederhanaan hidup itu diamalkan. Walaupun mereka mempunyai pendapatan yang tinggi, kehidupan mereka dijalani seperti biasa sahaja.

Malah, ibu negara mereka iaitu Muscat, tidak mempunyai menara-menara tinggi seperti kebanyakan negara kaya yang lain.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.