Omar Mukhtar, ‘Singa Padang Pasir’ yang digeruni penjajah Itali

Timur Tengah Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Omar Mukhtar, ‘Singa Padang Pasir’ yang digeruni penjajah Itali
Omar Mukhtar, ‘Singa Padang Pasir’ yang digeruni penjajah Itali © hipstamp.com

Pada satu ketika dahulu, nama Omar Mukhtar amat digeruni oleh pihak Itali. Malah, disebabkan sifat beraninya dalam menentang penjajahan Itali ke atas Libya, beliau digelar sebagai ‘Singa Padang Pasir’.

Ini kisah ringkas perjalanan hidup hero Negara Libya.

Kehidupan awal Omar Mukhtar

Omar Mukhtar telah dilahirkan pada 20 Ogos 1858 di sebuah perkampungan bernama Zawiyat Janzur. Beliau adalah seorang anak yatim dan dipelihara oleh Sharif El-Gariani. Sharif El-Gariani adalah anak saudara kepada Hussein Ghariani, seorang pemimpin agama dan politik di Cyrenaica, Libya.

Beliau menerima pendidikan awalnya selama lapan tahun di sebuah madrasah atau sekolah Al-Quran.

Permulaan penentangan terhadap penjajahan Itali

Pada tahun 1911, pihak tentera laut Itali telah mendarat di pesisir pantai Libya yang pada ketika itu di bawah penguasaan Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pihak Itali telah meminta pihak Turki untuk menyerah kalah atau akan diserang oleh pihak Itali.

Pihak Turki serta rakyat Libya tidak menerima tawaran tersebut lalu menyebabkan Itali mengebom bandar Tripoli dan Benghazi selama tiga hari.

Bermula pada saat inilah, berlakunya penentangan secara rasmi rakyat Libya yang dipimpin oleh Omar Mukhtar terhadap Itali selama 22 tahun.

Kelebihan taktik serangan Omar Mokhtar

Walaupun serba kekurangan berbanding tentera Itali, tiada siapa yang lebih mengetahui selok belok padang pasir berbanding penduduk Libya sendiri.

Begitu juga dengan Omar Mukhtar, beliau amat berpengalaman dengan selok belok serta taktik pertempuran di padang pasir. Disebabkan itu, beliau mempunyai kelebihan untuk menyerang tentera Itali yang tidak begitu biasa dengan geografi padang pasir Libya.

Omar menggunakan taktik serangan gerila di mana kumpulannya menyerang tentera Itali secara tiba-tiba dan kemudiannya menghilang begitu sahaja. Tentera Itali seringkali dikejutkan dengan serangan pasukan Omar yang banyak menyerang pos-pos kawalan tentera Itali.

Bukan itu sahaja, pasukan Omar juga sering membuat serangan hendap dan memotong bekalan makanan serta komunikasi pihak Itali. Disebabkan itu, pihak Itali kemudiannya menubuhkan pasukan khas penentang serangan gerila Libya sehingga menyebabkan pihak Libya berundur buat seketika.

Ditangkap oleh penjajah Itali

Selama 22 tahun memperjuangkan kedaulatan Libya daripada dijajah oleh Itali, akhirnya Omar Mukhtar berjaya ditangkap oleh Itali pada 11 September 1931. Beliau ditangkap selepas tercedera akibat serangan Itali di Slonta.

Dalam masa tiga hari, Omar Mukhtar telah didakwa dan dijatuhkan hukuman oleh pihak Itali. Beliau dijatuhkan hukuman dengan digantung di hadapan orang awam.

Sewaktu beliau ditanyakan sebarang kata-kata akhir yang ingin diucapkan, beliau hanya menyebut ‘Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un.’

Beliau akhirnya digantung oleh pihak Itali dengan harapan rakyat Libya tidak lagi menentang Itali. Beliau digantung di sebuah kem tahanan ketika berusia 73 tahun.

‘Singa Padang Pasir’ yang digeruni penjajah

Kemahiran dan kelicikan beliau dalam pertempuran padang pasir amat mengejutkan pihak penjajah. Selain itu, sifat berani yang dimilikinya juga menyebabkan beliau digelar dengan gelaran ‘Singa Padang Pasir’.

Penentangannya yang berterusan terhadap penjajahan Itali membuktikan bahawa bahawa beliau adalah seorang yang tidak akan tunduk terhadap penjajahan kuasa asing.

Semoga Allah Taala merahmati dan menempatkan roh Omar Mukhtar dalam kalangan orang-orang yang beriman dan juga soleh.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.