Operasi pandu lalu e-bazar Ramadan tidak dibenarkan

Makanan Ahmad Mahmud 16-Apr-2020
Bazar Ramadan tidak dibenarkan ketika PKP © Sydeen | Dreamstime.com

Kerajaan telah memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang jenis operasi bazar Ramadan diadakan menjelang bulan puasa ini. Seterusnya, cadangan operasi e-bazar pada bulan Ramadan yang menggunakan kaedah pandu lalu untuk mengambil makanan, juga tidak boleh dilaksanakan berikutan penguatkuasaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan (Keselamatan), pihaknya sudah mendengar dan meneliti nasihat Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan keputusan ini adalah muktamad. Berikutan mesyuarat hari ini, perniagaan bazar atau gerai Ramadan yang melakukan cara pandu lalu dan tempah dan ambil, atau e-iftar – kesemuanya adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Sementara itu, perniagaan-perniagaan yang menggunakan kaedah pesanan dalam talian dan penggunaan khidmat penghantaran, masih boleh diteruskan operasinya seperti biasa. Oleh itu, perniagaan dalam talian e-bazar ketika bulan Ramadan, di mana pesanan akan dibuat secara dalam talian dan makanan dihantar ke depan pintu rumah – ini adalah dibenarkan buat masa ini.

Pewujudan bazar secara fizikal dengan konsep pandu lalu hanya akan menyebabkan kesesakan orang ramai. Ia juga akan merumitkan penguatkuasaan polis kerana orang akan mempunyai lebih banyak alasan untuk meninggalkan rumah. Ini sepatutnya dielakkan terutamanya dalam fasa ketiga pengendalian PKP untuk terus mengekang penyebaran wabak COVID-19.

PKP yang dipanjangkan tempoh akan berakhir pada 28 April, sementara bulan puasa dijangka bermula pada 23 April. Biasanya, bazar-bazar Ramadan akan diadakan di seluruh negara di mana orang Islam dan juga bukan Islam dapat membeli pelbagai juadah untuk berbuka puasa atau makan malam.