Orang Bajau, etnik peribumi Sabah terawal menerima Islam

Asia Md Wa'iz
Md Wa'iz
Orang Bajau, etnik peribumi Sabah terawal menerima Islam
Orang Bajau, etnik peribumi Sabah terawal menerima Islam © Sharif Putra | Dreamstime.com

Suku kaum Bajau adalah antara suku kaum pribumi terbesar yang ada di Negeri Sabah. Lebih daripada 95% daripada keseluruhan orang Bajau adalah penganut agama Islam.

Bagaimana orang Bajau mula memeluk Islam? Apakah sejarah di sebaliknya?

Latar belakang orang Bajau Sabah

Orang Bajau di Sabah boleh dipecahkan kepada dua kelompok utama. Kelompok tersebut ialah Bajau Laut dan Bajau Darat.

Bajau Laut tinggal di kawasan Timur Sabah, manakala Bajau Darat menetap di kawasan Barat Sabah. Perkataan Bajau pada asalnya merujuk kepada golongan nomad yang tinggal di lautan.

Dalam catatan sejarah lampau, orang-orang Bajau didapati menetap di perahu-perahu di sekitar perairan Singapura, Johor, Pulau Bangka, Sulawesi dan juga Kepulauan Sulu.

Namun kini, sudah ramai yang mula menetap di kawasan daratan tetapi masih ada sebilangan kecil yang terus menetap di atas perahu.

Sejarah awal penerimaan Islam

Menurut catatan sejarah, masyarakat Bajau di Sabah telah memeluk Islam sebelum abad ke-19 lagi. Ini menjadikan mereka sebagai antara kaum pribumi terawal yang memeluk Islam.

Dalam satu kajian, seorang individu berketurunan Bajau menyatakan, moyangnya yang telah meninggal dunia sekitar tahun 1800 telah memeluk Islam sebelum itu lagi. Ada juga kajian yang menyatakan orang-orang Bajau telah menerima Islam sejak abad ke-14 lagi.

Pada zaman pemerintahan Syarikat Borneo Utara British (SBUB), mereka mengelaskan penduduk Sabah kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama ialah Melayu Muslim, dan yang kedua ialah orang Pagan. Orang-orang Bajau dikelaskan dalam kumpulan yang pertama iaitu Melayu Muslim.

Orang-orang Inggeris juga memanggil orang Bajau dengan gelaran Hadji atau Haji. Kini, lebih 95% orang Bajau adalah Muslim, manakala yang lainnya beragama Kristian dan mengamalkan kepercayaan tradisi.

Penghayatan dan amalan agama Islam oleh orang Bajau

Walaupun orang Bajau sudah lama menerima Islam, namun penghayatan mereka ini berbeza-beza antara satu sama lain. Ia mungkin dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti geografi dan sosioekonomi.

Dalam satu kajian, dikatakan bahawa orang Bajau Darat memiliki penghayatan agama Islam yang lebih tinggi berbanding orang Bajau Laut. Antara sebabnya adalah kerana orang Bajau Darat telah menetap secara tetap berbanding orang Bajau Laut.

Jadi, mereka lebih mudah untuk mengamalkan ajaran Islam berbanding orang Bajau Laut yang sering berpindah-randah.

Gabungan kepercayaan tradisi dan ajaran Islam

Ajaran Islam mula diperkenalkan oleh golongan Sufi yang mengadaptasikan ajaran Islam dengan kebudayaan orang Bajau. Namun, kebanyakan masyarakat Bajau kini telah mencampurkan ajaran agama Islam bersama-sama dengan budaya mereka.

Amalan ini kemudiannya diteruskan oleh generasi seterusnya. Hal ini disebut sebagai sinkritisma, dimana terdapatnya gabungan agama dengan kebudayaan dan kepercayaan tradisional. Oleh sebab itu, ada sebilangan orang Bajau yang beragama Islam, tetapi masih mengamalkan kepercayaan tradisional mereka.

Orang Bajau merupakan salah satu etnik pribumi di Malaysia yang sinonim dengan agama Islam. Ini kerana mereka telah lama memeluk agama Islam seperti orang-orang Melayu.

Etnik-etnik lain di Negeri Sabah pula menerima kehadiran ajaran Islam lebih lewat berbanding masyarakat Bajau.