Orang Kelantan Balik Kampung Sewa Helikopter

Bermacam-macam perkara yang sanggup dilakukan asalkan dapat balik beraya di kampung. Ini termasuklah dengan menyewa helikopter agar dapat pulang berhari raya.

Menerusi laporan yang dikeluarkan akhbar tempatan Sinar Harian, warga Kelantan dikatakan yang paling ramai menyewa perkhidmatan helikopter untuk pulang beraya di kampung halaman mereka.

Tahun ini, dijangka sebanyak 1 juta kereta akan masuk ke Kelantan menjelang Syawal nanti, jadi tidak hairanlah kenapa ada yang sanggup menyewa helikopter yang mampu mencecah RM30,000 tambang sehala.

Menurut pemilik syarikat pengurusan, Hazmi Dimasyq Group, Hazmi Hanipa, 31, perkhidmatan di musim perayaan ini adalah kali pertama diperkenalkan. Katanya, sejak tiga tahun lalu, syarikatnya menyediakan perkhidmatan heli dan jet peribadi yang kebiasaannya menjadi pilihan ahli perniagaan.

“Ini merupakan tahun pertama untuk perkhidmatan sempena hari raya. Setakat ini, kita mendapat 11 permintaan yang mana paling tinggi adalah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

“Penerbangan pertama bermula pada 3 Jun ini dan harga penerbangan ke Kelantan mencecah RM30,000 untuk sehala.

“Kita menyediakan lebih 20 buah helikopter untuk musim raya ini manakala penerbangan hari biasa melibatkan enam buah sahaja,” katanya.

Menurut anak kelahiran Kampung Renok Baru, Gua Musang ini, dia tidak menyangka perkhidmatan ini mendapat permintaan tinggi terutamanya di kalangan ahli perniagaan.

“Untuk Kelantan sahaja, kita ada empat penerbangan setakat ini. Kita menyediakan dua jenis helikopter iaitu muatan tiga dan enam penumpang.

“Untuk penerbangan enam penumpang, harganya mencecah RM17,000 untuk satu jam dan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu memakan masa tiga jam.

“Alhamdulillah, melihat kepada permintaan, kita akan meneruskan perkhidmatan ini untuk musim-musim perayaan seterusnya,” katanya.

Tidak kisahlah anda balik kampung menaiki kenderaan apa sekali pun, SalamToday mendoakan semoga perjalanan anda pulang ke kampung selamat dan dapat beraya dengan penuh gembira dan syukur bersama keluarga tercinta. Bagi yang memandu, berhati-hati di jalan raya.

Sumber : Sinar Harian

Foto : Shutterstock