Orang yang keras kepala dan ada sifat sombong

Kehidupan Zalina Majid 11-Sep-2020
dreamstime_s_71343502
Keras kepala dan sombong? © Volkovslava | Dreamstime.com

Keras kepala adalah sifat yang beriringan dengan sifat sombong, bongkak atau takbur. Iblis menjadikan kufur akibat daripada sifat keras kepala dan sombong, dengan merasakan diri lebih baik berbanding orang lain. Kesemua sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT.

Dari Aisyah r.a, Rasulullah SWT bersabda: “Manusia yang paling dibenci Allah SWT adalah yang keras kepala dan suka membantah (suka bermusuh).” (Hadis riwayat Bukhari, no. 6651)

Melihat kepada kepincangan yang berlaku pada hari ini, samada kerosakan rumahtangga, masyarakat, kelompok etnik, kaum dan bangsa seterusnya negara adalah disebabkan wujudnya sifat sombong dan keras kepala dalam diri.

Mereka yang bersikap keras kepala ini kebiasaanya terdiri dalam kalangan orang yang berpangkat, berkedudukan dalam masyarakat, orang-orang kaya, pemimpin mahupun hartawan. Ini kerana mereka berasa taraf istimewa dimiliki berbanding orang biasa. Lantaran itu, sikap keras kepala dan sombong mudah tersuntik dalam diri mereka.

Namun begitu, golongan awam dan miskin juga tidak kurang adanya sifat sebegitu. Sifat degil dan keras kepala ini membawa kepada kufur dengan nikmat malah sukarnya rasa bersyukur. Hanya kerana kekurangan dan kesusahan yang dihadapi boleh menyebabkan diri kerap menyalahkan takdir dan ketentuan Allah SWT.

Ironinya, sifat ini boleh sahaja menyinggah di hati manusia yang sentiasa kelupaan untuk membajai jiwa mereka dengan sifat-sifat mahmudah serta amalan-amalan baik yang menguatkan jatidiri dalaman.

Elakkanlah diri dari suka bertengkar dan berbalah. Orang yang suka membantah tanpa raikan adab adalah mereka yang suka bertengkar dan menegakkan pendapatnya sendiri walaupun salah. Ia akan menjadikan dirinya seorang yang angkuh dan sombong.

Baginya dia sahaja di posisi yang betul dan orang lain sentiasa salah. Malahan, sukar untuk berunding dan berbincang dengan baik kerana menganggap pendapat orang lain bertaraf rendah dan pendapatnya sahaja yang terbaik dan perlu diutamakan. Akhirnya, wujudlah ketidaksefahaman dan termeterailah permusuhan.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan.” (HR Muslim)

Berwaspadalah dari sikap keras kepala ketika menerima kebenaran agama Allah SWT. Kita imbas kembali kisah-kisah terdahulu kaum yang ingkar, enggan menerima kebenaran serta tidak beriman kepada Allah. Kesudahannya, mereka menerima balasan azab yang amat dahsyat.

Sebagai manusia, hidup kita sentiasa diuji. Maka sebelum bertindak atau berkata, berfikir dahulu supaya hasilnya tidak memberi kesan yang tidak baik kepada diri, orang di sekeliling atau masyarakat. Jadilah kita orang yang sentiasa berlapang dada dan mudah menerima kepelbagaian pendapat dan pandangan.