Orang yang menjaga agama sebagai inspirasi

Siapa inspirasi anda? © Mohd Khairi Ibrahim | Dreamstime.com

Ada kalanya kita leka dengan cita-cita dan perkara duniawi, sehingga seolah-olah tidak ada yang mencukupi. Sebaik sahaja sesuatu itu dicapai, kita beralih ke sasaran seterusnya, sambil menambah yang baru. Kemungkinan senarai sasaran itu terus menjadi satu-satunya fokus dan tujuan hidup kita.

Senarai sasaran ini tidak akan berakhir, dan perasaan mahu mencari perkara atau benda baru juga adalah sama. Sudah menjadi lumrah kita melihat apa yang kita ada dan membandingkannya dengan apa yang orang lain ada. Kitaran ini tidak berkesudahan. Inilah halnya bila kita terikat dengan hal-hal duniawi.

Ingatlah bahawa dunia ini tidak diciptakan oleh Allah SWT kekal selamanya. Perbandingan duniawi yang sebenarnya harus menjadi inspirasi kita ialah dengan mereka yang kurang bernasib baik. Ini akan mengajar kita rasa syukur dengan apa yang kita ada, berkat Yang Maha Pencipta. Al-Quran, surah Az-Zumar (39), ayat 7 menyatakan: “…dan jika kamu bersyukur, Ia meredainya menjadi sifat dan amalan kamu.”

Memahami bahawa ramai orang di dunia yang lebih susah akan mengingatkan kita tentang pentingnya bersedekah dan menolong mereka yang memerlukan. Obsesi dengan materialisme dan membandingkan kehidupan dengan orang yang lebih daripada kita adalah hanya sia-sia.

Tumpukan perhatian anda untuk menjadi seperti mereka yang lebih teguh imannya dalam mendepani jalan Islam. Ini akan mengingatkan kita apa sebenarnya tujuan hidup ini. Ia juga akan memberi inspirasi kepada kita untuk menjadi Muslim yang lebih baik, dan mencegah hati daripada terlalu terkait dengan perkara-perkara duniawi.

Sebenarnya, perkara-perkara duniawi ini bukan hanya diukur dengan kekayaan sahaja. Kita mungkin terlalu terikat dengan persahabatan, keluarga, karier dan sebagainya. Semua ini bukanlah keutamaan dan tujuan akhir kita. Allah SWT dan mengamalkan cara hidup Islam adalah tumpuan hakiki yang harus menjadi inti kepada semua yang kita lakukan.

Namun, sudah tentu setiap manusia itu mempunyai kekurangan. Oleh itu, dapatkanlah inspirasi dari mereka yang lebih kerap membaca Al-Quran, atau mereka yang mengutamakan puasa sunat, sebagai contoh. Motivasi sebegini akan membuat kita merasa lebih puas dalam hidup, kerana tujuan utama kita adalah untuk menggembirakan Allah SWT.

Kebergantungan kita adalah hanya pada Allah SWT. Tawakal dan penyerahan kita adalah sepenuhnya kepada Allah. Maka, ingatlah firman-Nya dalam Al-Quran, surah Ad-Dhaariyat (51), ayat 56: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”