Orkestra Filharmonik Malaysia Jelajah ke Utara Semenanjung

Orkestra Filharmonik Malaysia atau Malaysian Philharmonic Orchestra, MPO akan membawa keunggulan muziknya keluar dari Dewan Filharmonik PETRONAS ke penonton di utara Semenanjung Malaysia melalui sebuah siri konsert jelajah pada bulan Jun dan Julai ini.

Konsert yang akan dipimpin oleh Konduktor Residen MPO, Gerard Salonga ini bakal menampilkan Duta Remaja MPO, pemain piano Tengku Irfan.

Sebanyak tiga lokasi telah dipilih iaitu Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, Alor Setar, Auditorium PERAKfm, Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Perak, Ipoh, dan Dewan Sri Pinang, George Town, Pulau Pinang.

Ketiga-tiga konsert ini dijadualkan pada 26 Jun 2019 (Kedah), 29 Jun 2019 (Perak) dan 2 Julai 2019 (Pulau Pinang), dan ia akan bermula pada jam 8.30 malam untuk setiap lokasi.

Kehebatan MPO bakal terserlah melalui seleksi lagu-lagu klasikal agung seperti Academic Festival Overture ciptaan Brahms, Piano Concerto No.1 (ciptaan Tchaikovsky) dan Overture to Candide (ciptaan Bernstein).

Selain itu, konsert ini juga bakal menampilkan karya tempatan yang popular seperti lagu malar segar ciptaan P Ramlee, Tunggu Sekejap, Cindai (ciptaan Pak Ngah) dan lagu-lagu patriotik seperti Tanah Pusaka dan Putera Puteri.

Sejak penampilan sulung beliau di Dewan Filharmonik Petronas pada tahun 2009, Tengku Irfan terus melakar kejayaan gemilang dalam bidang seni muzik.

Anak muda ini telah memenangi anugerah-anugerah berprestij di Aspen Prokofiev Piano Concerto No.2 Competition, ASCAP Charlotte Bergen dan ASCAP Morton Gould Young Composer, dan membuat persembahan bersama orkestra seperti Singapore Symphony, São Paulo State Youth Orchestra dan Juilliard Orchestra.

Sebelum ini, Irfan juga telah menyertai siri konsert jelajah MPO ke Ho Chi Minh dan Hanoi pada tahun 2013, serta Sabah dan Sarawak pada tahun lalu.

Bagi memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar dan golongan muda melalui alunan muzik,  MPO juga akan mempersembahkan konsert untuk murid-murid sekolah di setiap lokasi terbabit pada jam 3.00 petang.

Tiket-tiket berharga RM20 (untuk para pelajar), RM30, RM60 dan RM100 boleh dibeli di lokasi-lokasi terpilih.

Untuk maklumat lanjut tentang siri konsert jelajah yang ditaja oleh BP Healthcare Group ini, anda boleh layari www.mpo.com.my atau singgah ke Facebook MPO.

Kredit foto : Dewan Filharmonik PETRONAS