P. Ramlee legenda sepanjang zaman

Suka Hanita Hassan 28-Jun-2020
Pustaka Peringatan P. Ramlee, Kuala Lumpur © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Seperti kata pepatah, ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’.  Mengenang pemergian tokoh seni legenda Malaysia, allahyarham seniman agung Tan Sri P. Ramlee (Mac 1929 – Mei 1973).  Beliau adalah seorang pelakon serba boleh, pengarah dan penyanyi, pencipta lagu serta penulis skrip, pemuzik, komposer dan juga penerbit.

Pemergiannya sudah menjangkau ke usia 47 tahun. Namun hasil karya Tan Sri Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh atau sinonim dengan  panggilan P. Ramlee  masih  disiarkan di saluran-saluran televisyen dan dipertonton oleh generasi muda hari ini.  Beliau bukan sahaja terkenal di Malaysia, tetapi juga di Singapura, Indonesia, Hong Kong serta Jepun.

Digelar Seniman Agung Negara kerana jasa yang amat besar dalam industri hiburan terutama di rantau Asia Tenggara. Beliau pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai Best Male Lead Role sempena Festival Filem Asia keempat di Tokyo dan Most Versatile Talent di Festival Filem Asia ke-10 juga di Tokyo.

Prolifik dan menghasilkan 401 buah lagu dan 66 buah filem sepanjang hayatnya.   Filem yang dihasilkan beliau tidak jemu ditonton.  Penuh dengan unsur-unsur humor, suspen dan pengajaran yang boleh diambil iktibar daripadanya.

Sebagai contoh, Filem Sumpah Semerah Padi yang diterbitkan pada 14 Julai 1956 mengetengahkan hukum Islam berdasarkan al-Quran melalui naratifnya. Semerah Padi adalah sebuah kampung yang ditadbir oleh pemimpin berdasarkan aspek-aspek keislaman.  Meskipun latar filem berlaku di sebuah kampung, namun ia tidak terlepas daripada menghadapi masalah sosial.

P. Ramlee memperlihatkan bagaimana undang-undang Islam bertindak terhadap pelaku penzina dengan adil dan saksama.  Dua pasangan yang terlibat dengan dosa zina yang dikisahkan dalam filem ini telah dihukum mengikut perintah al-Quran.

Satu pasangan yang telah berkahwin tetapi melakukan zina telah dijatuhkan hukuman sula.  Manakala satu lagi pasangan bujang yang terlanjur dihukum dengan sebatan 100 kali.  Filem Sumpah Semerah Padi dikatakan yang terbaik pernah diarahkan serta dilakonkan oleh P. Ramlee dan filem kedua arahan beliau.

Setiap watak dan perwatakan dalam filemnya dibina dengan begitu teliti kerana ia sebagai cerminan masyarakat.  Begitu juga apabila beliau membina aksara-aksara dalam skrip dan dialog sehingga memberi kesan kepada penonton.

Filem Ali Baba Bujang Lapuk misalnya mengandungi banyak unsur kiasan di dalamnya.  Watak Ali Baba dipercayai adalah saduran daripada kisah Ali Baba and Forty Thieves dan Ali Baba aur Forty Chor (Bollywood).

Antara petikan dialog kiasan dalam Ali Baba Bujang Lapuk ialah “Jual candu ada lesen, jual ganja ada lesen, jual belacan tak ada lesen.  Saya ‘smuggle’ dari Malaya.”  Teguran ini sebagai rasa tidak puas hati  terhadap undang-undang yang tidak telus.

Beliau turut menegur tentang amalan sistem riba yang tidak patuh syariah dalam masyarakat.  Sepertimana dialog “Hari-hari datang pinjam beras. Boleh bagi pinjam, tapi kasi balik dua gantang.”

Cara berfikir P. Ramlee melebihi jangkauan masa dan zaman. Semoga lebih banyak karya yang baik seperti karya-karya Allahyarham P. Ramlee dapat dihasilkan oleh para pengkarya pada hari ini dan masa hadapan.

Semoga Allah SWT menempatkan allahyarham legenda negara P. Ramlee dalam kalangan orang yang beriman. Amin.