Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Pahang ke arah atlet pakai patuh syariah – MB

Pakaian patuh syariah
Contoh pemakaian sukan patuh syariah © Cymbalinefu | Dreamstime.com

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah mengumumkan bahawa sebagai menyahut tuntutan agama, pelaksanaan pemakaian patuh syariah terhadap atlet-atlet Pahang bakal dilaksanakan. Walaupun kini pemakaian sebegini telah mendapat perhatian masyarakat, namun ia mesti diperjelaskan dengan kajian oleh mufti, pakar syariah, persatuan sukan dan ahli akademik sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut beliau yang ditemui selepas merasmikan Seminar Pemakaian Atlet Sukan Patuh Syariah Peringkat Negeri Pahang, resolusi mengenai perkara ini telah diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, dan ia akan dibincangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Seminar tersebut telah disertai 480 atlet dan jurulatih dari Majlis Sukan Pahang (MSP). Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Seri Mohd Johari Hussain juga turut hadir.

Mohd Johari menerangkan mengenai resolusi seminar, terdapat 13 jenis sukan yang sesuai dengan pemakaian patuh syariah. Ini termasuk silat, lawan pedang, memanah, menembak, golf, wushu, tenpin boling, taekwondo dan judo. Bagi atlet wanita dan pemakaian patuh syariah, terdapat 19 acara sukan yang boleh disertai. Antaranya ialah badminton, bola jaring, akuatik, bola keranjang, ekuestrian, olahraga, skuasy, bola tampar dan pelayaran.

Perkembangan pemakaian atlet patuh syariah adalah semakin positif dan atlet yang berpakaian sebegini boleh menjadi contoh yang baik kepada sesiapa yang mahu bersukan dan berupaya mencapai kecemerlangan dengan berpakaian patuh syariah. Satu contoh atlet berpakaian patuh syariah dan berprestasi cemerlang adalah Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang menguatkuasakan pemakaian sebegini dalam pertandingan Piala Juara STL sejak November 2018. Inisiatif yang disambut baik termasuk daripada pemain bukan beragama Islam tidak menjejaskan para pemain sama ada bila melakukan servis atau rejaman.