Pakaian renang praktikal buat Muslimah

Kehidupan Abi Aasim 15-Ogo-2020
Pakaian renang praktikal muslimah © Pande Putu Hadi Wiguna | Dreamstime.com

Aktiviti sukan air sememangnya digemari oleh semua orang. Aktiviti melibatkan sungai, kolam renang dan laut ini sememangnya digemari hampir semua peringkat umur. Namun bagi muslimah aktiviti-aktiviti ini sedikit mencabar kerana kurangnya pakaian yang sesuai untuk menyertai akiviti sukan air ini.

Walaupun begitu, Alhamdulillah kebelakangan ini sudah ada pihak yang cakna dan menyediakan busana muslimah yang sesuai, sopan dan mematuhi syarak bagi aktiviti sukan air.Antara pakaian ini termasuklah pakaian renang yang lebih praktikal dan menutup aurat. Sebelum ini, fesyen dan pakaian bagi aktiviti sukan air ini memang diterajui oleh pereka dari negara barat.

Jadi tidak hairanlah jika pakaian renang yang ada terlalu mendedahkan  aurat dan juga tubuh badan pemakainya. Jika ada yang menutup badan pun, pilihan yang ada tidak banyak dan kebanyakannya menampakkan bentuk tubuh badan. Rekaan masa kini nampaknya lebih mengambil berat tentang perkara ini dan sekaligus memberi pilihan yang lebih kepada muslimah membuat pilihan.

Apa yang dimaksudkan dengan pakaian renang praktikal? Pakaian renang yang menepati ciri-ciri pakaian muslimah iaitu menutup aurat mengikut syarak serta tidak menampakkan susuk bentuk tubuh badan.

Panduan memilih pakaian renang 

Potongan baju renang: Dapatkan pakaian renang yang mempunyai potongan baju yang lebih besar daripada saiz badan terutama di bahagian pinggul agar tidak menampakkan susuk tubuh apabila berada di dalam air.

Rekaan baju renang: Terdapat 3 jenis rekaan baju renang di pasaran.

  1. ‘One Piece’ iaitu skirt yang telah lengkap dengan pakaian renang satu badan.
  2. Baju renang yang labuh bersama seluar.
  3. Baju renang yang labuh diluar manakala seluarnya pula lengkap dengan pakaian renang satu badan.

Dengan rekaan sebegini, lebih mudah untuk para muslimah membuat pilihan pakaian renang yang lebih bersesuaian mengikut kepada keselesaan masing-masing. Malah, masih boleh berfesyen mengikut perkembangan terkini.

Tudung: Bahagian kepala jangan dilupakan. Kebanyakan pakaian renang muslimah kini hadir dengan pilihan baju dan penutup kepala sekaligus. Namun jangan lupa untuk pakai anak tudung dan mengemaskan rambut bagi memastikan aurat terjaga dengan rapi.

Para muslimah kini ada lebih pilihan untuk memilih pakaian renang. Kini ada lebih banyak aktiviti sukan air yang dapat disertai berbanding sebelum ini. Walaupun begitu, jangan lupa untuk memastikan aurat sentiasa dipelihara dengan sebaiknya.