Pakar Kajian Strategik dan Anti Keganasan setuju kembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

Uncategorized MAS 28-Dis-2019
Pasukan Khas PDRM
© Jamaluddin Bin Borhan | Dreamstime.com

Prof Madya Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Mizan Aslam menyokong saranan supaya ISA dikembalikan. Beliau berpendapat perkara ini perlu akibat situasi negara yang berdepan pelbagai ancaman yang menggugat keharmonian negara kini.

Beliau menegaskan terdapat ancaman merbahaya berpunca daripada agenda tersembunyi dan licik di Malaysia, hari ini. Contoh ancaman termasuklah gerakan komunis, ajaran Syiah dan organisasi pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Selain itu terdapatnya usaha Kristianisasi, Wahabi dan ajaran sesat serta kegiatan jenayah terancang.

Pemansuhan ISA dilihat sebagai punca utama golongan-golongan tersebut menjadi berani menonjolkan diri dan menyebarkan ideologi secara terbuka. Pengenalan semula ISA mampu mengekang ancaman-ancaman tersebut dan menjamin keharmonian dalam masyarakat.

Pihak yang menentang ISA seharusnya melihat dari sudut keberkesanan ISA dalam mengawal keganasan dan jenayah, tegas beliau. Mizan menjelaskan ISA telah berjaya “menyelamatkan jutaan nyawa rakyat” Malaysia termasuklah pemimpin kerajaan dan pembangkang. Tanpa ISA, akan berlaku banyak kerosakan dan kemusnahan harta benda rakyat, termasuk mengganggu perniagaan golongan anti ISA. Jika ISA tidak diperkenalkan sejak zaman keganasan komunis, Malaysia pasti tidak akan semaju dan semakmur hari ini.

Kelmarin, Ibrahim Ali mencabar kerajaan untuk memperkenalkan semula ISA bagi menyekat ideologi komunis di Malaysia. Presiden Parti Pesaka Bumiputera Malaysia (Putra) itu mendakwa penyokong komunis menjadi berani apabila ISA dimansuhkan. Mereka juga didakwa bekerja keras untuk turut memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ibrahim Ali turut mempersoalkan usaha memansuhkan SOSMA yang digubal untuk menggantikan ISA tersebut. Untuk rekod, Ibrahim Ali merupakan bekas tahanan ISA dan pernah dipenjarakan sebanyak dua kali pada tahun 1974 dan 1987.

Dalam manifesto pilihanraya umum lalu, Pakatan Harapan berjanji untuk memansuhkan peruntukan dalam beberapa akta tertentu termasuk SOSMA. Selain itu pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC 2019) dijadualkan pada Mac 2020.