Pameran Artifak Rasulullah di PWTC

Bermula 22 Julai sehingga 4 Ogos hadapan, orang ramai dijemput hadir menyaksikan Pameran Artifak Rasulullah S.A.W dan Para Sahabat R.A di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pameran anjuran sepenuhnya Manhajj Brothers Sdn. Bhd. (Manhajj Brothers) itu menampilkan lebih 49 artifak Rasululllah SAW, artifak Sahabat R.A serta artifak kerajaan Uthmaniah dan ia akan dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga jam 10 malam.

Pengarah Projek Pameran, Razali Bachik berkata, pameran ini akan memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat sendiri artifak yang turut menjadi rakaman sejarah kehidupan dan perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Beliau berkata, pameran ini juga bermatlamat untuk memberi pendidikan, sumber inspirasi  dan pengetahuan kepada pengunjung mengenaià kegemilangan tamadun Islam.

“Antara artifak yang boleh dilihat ialah rambut, janggut, darah bekam, serban, tongkat, bekas air zam zam, pasir makam Rasulullah dan kunci makam tersebut.”

“Artifak lain adalah pedang Muaz bin Jabal, pedang Sultan Al-Fatih, Kiswah Kaabah Merah, Kiswah Kaabah Hijau dan kunci Makam Saiditina Fatimah.”

“Turut dipamerkan artifak peninggalan Kerajaan Uthmaniah seperti kunci, baju perang, tandu, al-Quran Emas kiswah Kaabah, Kiswah Pintu Taubat di mana semua artifak ini merupakan koleksi dari Tanah Arabah seperti Mekah dan Madinah serta negara Yemen dan Turki,” ulasnya menerusi satu kenyataan media kepada SalamToday.

Jelas Razali, pameran tersebut turut mendapat sokongan penuh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Pameran Artifak Rasulullah S.A.W dan Para Sahabat R.A itu memasuki penganjuran kali ke-10 yang bermula sejak tahun 2019.

Ia turut pernah menjelajah ke luar negara seperti Brunei, Singapura selain Padang dan Medan di Indonesia sebelum ini.

Tiket masuk hanya RM20 untuk dewasa, RM10 untuk mahasiswa dan RM5 untuk kanak-kanak.

Lebih menarik pameran ini menawarkan cabutan bertuah apabila pengunjung boleh membawa pulang hadiah utama iaitu motosikal Yamaha Y15.

“Cabutan itu diadakan menerusi peraduan ‘Ride To Y-Suku’, di mana pengunjung hanya perlu mengambil gambar di Manhajj Photobooth Rasmi berharga RM15 yang melayakkan mereka mendapat satu nombor bertuah,” jelas Razali.

Kredit foto : https://www.facebook.com/pg/pameranartifak/posts/