Pameran ‘Membayang Maksud’ Tonjol 77 Hasil Karya Ismail Zain

Dalam amanah mendidik masyarakat Malaysia untuk mengenali dengan lebih dekat serta menghargai tokoh seni dan budaya terdahulu, Balai Seni Negara dan Fergana Art membawakan pameran ‘Membayang Maksud’ Ismail Zain.

Allahyarham merupakan seorang tokoh budayawan negara yang dilahirkan di Kodiang, Kedah pada tahun 1930 serta merupakan anak tempatan pertama yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Balai Seni Negara (1972-1975).

Ismail merupakan artis pasca moden dengan pelbagai kebolehan, yang diumpamakan sebagai seorang seniman sempurna kerana beliau bukan sahaja dikenali sebagai tokoh pelopor seni elektronik dan digital di Malaysia, malahan amat dikenali dalam bidang budaya, filem dan teater.

Beliau juga seorang pemikir hebat yang banyak menghasil penulisan-penulisan ilmiah tentang bidang seni dan budaya Malaysia.

‘Membayang Maksud’ merujuk kepada amalan Ismail Zain dalam menghasilkan karya-karyanya.

Sebagai seorang budayawan melayu, penghasilan karya beliau selari dengan kiasan dan kata-kata halus seperti pantun dan seloka.

Menurut Kurator Jemputan pameran ‘Membayang Maksud’, Jaafar Ismail, Ismail Zain merupakan seorang seniman seni visual yang berbeza.

“Allahyarham berkarya atau menulis bukan hanya berkisar tentang seni visual tetapi juga mengenai budaya dan masyarakat.

“Beliau juga menekankan seni itu perlu dipermudahkan dan dekat kepada masyarakat.

“Selain untuk mengajak masyarakat mengenali Ismail Zain dengan lebih dekat, pameran ini juga dirancang bagi melahirkan kesedaran dan mencipta perhatian tentang buku kompilasi terpilih penulisan Ismail Zain yang sedang  disusun oleh sejarawan seni, TK Sabapathy yang akan diterbitkan pada November nanti ” ujarnya.

Pameran Membayang Maksud’ memaparkan 77 buah karya catan dan kolaj digital yang dikumpulkan melalui koleksi, Balai Seni Negara, Fergana Art, Koleksi Keluarga, Malaysia Airline System (MAS), Yayasan Ilham  dan Koleksi Encik Pakhruddin Sulaiman

Ia berlangsung di Balai Seni Negara mulai 27 Ogos 2019 hingga 17 November  2019 dan dibuka setiap hari untuk lawatan bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Foto: Balai Seni Negara & Facebook Fergana Art

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Ismail merupakan artis pasca moden dengan pelbagai kebolehan, yang diumpamakan sebagai seorang seniman sempurna kerana beliau bukan sahaja dikenali sebagai tokoh pelopor seni elektronik dan digital di Malaysia, malahan amat dikenali dalam bidang budaya, filem dan teater.