Pandangan Islam tentang meraikan perayaan agama lain

Agama Hanita Hassan 06-Sep-2020
dreamstime_s_167726269
Meraikan perayaan agama lain? © Abed Rahim Khatib | Dreamstime.com

Toleransi terhadap agama-agama lain merupakan prinsip penting yang digariskan dengan jelas di dalam kitab suci Al-Quran.  Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”  (Surah Al-An’am, ayat 108)

Ayat  ini ditujukan kepada sesiapa sahaja yang berbeza agama, termasuk mereka yang tinggal di negara di mana majoriti populasinya adalah bukan Islam.  Mereka juga mempunyai adat dan budaya tersendiri serta cuti am bagi meraikan sambutan perayaan am mahupun perayaan keagamaan. Tidak dapat dinafikan, kita pasti terdedah dengan adat, budaya serta perayaan mereka dan persoalannya adalah bagaimana reaksi yang sepatutnya kita pamerkan kepada mereka.

Perkara utama yang perlu dipertimbangkan adalah persoalan mengenai kebersamaan hidup? Allah SWT mengenalkan cinta, Allah mengajarkan cinta, Allah menetapkan cinta terhadap orang Islam dan bukan Islam. Kita mempunyai hati yang sama yang terkadang berasa gembira mahupun kesakitan.

Inilah kesalahan akibat daripada sikap kita sedangkan kita boleh memupuk kegembiraan dalam hati yang boleh menggembirakan semua. Kita juga memperoleh manfaat kesan daripada kegembiraan ini. Kita juga perlu berusaha menyatukan hati, berfikiran terbuka serta mencari kebahagiaan hidup. Tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, kelas mahupun status sosial. Inilah mesej kasih sayang daripada Allah SWT.

Bagaimana pula dengan identiti kita? Adakah kita boleh berkompromi dalam hal ini? Jawapannya tidak, semestinya tidak. Kita yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar yang  membawa cahaya kepada seluruh manusia di  muka bumi ini dan dengan demikian Islam harus disampaikan dan diajar serta  dipatuhi oleh semua.

Jiran kita boleh menjadi seorang yang baik dalam kehidupan seharian tetapi tidak apabila ia berkait langsung dengan soal keagamaan, jika dia bukan seorang Islam, dia adalah seorang yang sesat. Dan kita tidak boleh membiarkan kesilapannya. Kita mesti berusaha membantu tetapi tanpa paksaan dan semestinya secara lembut dan tidak sampai mengganggunya.

Semasa perayaan, kita boleh menggunakan kesempatan itu untuk berkongsi  kepercayaan mengenai Islam dengan jiran bukan Islam. Terutama ketika perayaan bagi agama Yahudi dan Kristian. Selain itu, terdapat juga cuti bukan berkaitan dengan agama di pelbagai negara bukan Islam yang tidak memberi kesan kepada kepercayaan agama Islam iaitu 4 Julai, Hari VE dan Malam Tahun Baharu. Perayaan seperti ini tidak mempunyai kaitan dengan agama.

Mereka biasanya menggunakan kesempatan itu untuk bersuka ria serta melawat jiran tetangga.   Oleh itu, jelas  bagi umat Islam perayaan seperti ini tidak menimbulkan sebarang keraguan.  Ucapan Selamat Tahun Baharu kepada jiran tidak akan menjejaskan kepercayaan agama, justeru tidak bersalahan untuk kita mengucapkannya.

Namun begitu berbeza halnya dengan sambutan perayaan Kristian. Sekiranya kita mengucapkan  ‘Selamat Hari Natal’ kepada seseorang, itu bermakna kita bersetuju dengan kandungan agama yang terdapat dalam acara tersebut.  Daripada sekadar berkongsi kegembiraan dengan jiran, sebaliknya kita berkongsi kepercayaan agamanya pula.

Ia kelihatan rumit, namun jalan keluarnya mudah. Kita gabungkan kedua-dua perkara iaitu berkongsi kegembiraan tanpa berkongsi kepercayaan agama. Ucapan yang sebaiknya ialah  ‘Selamat sejahtera dan semoga bergembira dengan perayaan anda’. Ia lebih tepat kerana kita menyatakan, ‘Saya gembira melihat anda dalam keadaan yang baik tetapi ini adalah perayaan anda dan bukan untuk saya’.