Pandemik mengubah landskap pendidikan dunia

Kesihatan 16 Feb 2021 Tari Basir
Tari Basir
Pandemik mengubah landskap pendidikan dunia
Pandemik mengubah landskap pendidikan dunia © Trin Chanthawiroj | Dreamstime.com

Semenjak lebih setahun virus COVID-19 menyerang penduduk global, pelbagai aspek dan perkara telah pun berubah. Perubahan yang berlaku ini sudah tentu bertujuan menyesuaikan manusia dengan pandemik yang masih belum tampak keredaannya.

Ini akhirnya dapat diadaptasikan dan mencetuskan norma baharu. Meskipun ia tampak mustahil pada mulanya, dengan peredaran waktu, majoriti penduduk global sudah mampu membiasakan diri dengan perubahan ini.

Namun, sebagaimana yang telah diutarakan dahulu, adaptasi manusia terhadap perubahan atau norma baharu ini bukan bermakna hasil yang sebaik norma terdahulu berjaya dicapai. Bahkan, minoritinya gagal beradaptasi dan akhirnya jatuh merudum.

Landskap pendidikan menerima impak besar hasil pandemik yang memungkinkan berlakunya pembelajaran secara bersemuka. Bayangkan, setelah sekian lama dengan gaya Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara bersemuka, kini para guru dan pelajar terpaksa beradaptasi dengan gaya PdP secara dalam talian dan di rumah (PdPR).

Pembelajaran dalam talian dan PdPR

Pembelajaran secara bersemuka merupakan tunjang utama dalam pendidikan. Apabila virus COVID-19 dikenal pasti tersebar secara bersemuka, maka penjarakan sosial telah pun ditetapkan bagi mengelakkan ia tersebar lebih jauh.

Perkara ini menyebabkan jutaan sekolah dan pusat pengajian tinggi seperti kolej dan universiti terpaksa ditutup, dan pembelajaran dalam talian serta PdPR diperkenalkan. Malahan, beberapa peperiksaan awam terpaksa ditangguhkan. Ini telah memberi kesan emosi dan mental terhadap para guru dan pelajar yang telah pun mempersiapkan diri mereka untuk menghadapinya.

Apabila dua perkara baharu ini diperkenalkan, maka ibu bapa pula menggalas tanggungjawab baharu sebagai guru kedua anak-anak. Jika dahulu majoriti ibu bapa menyerahkan bulat-bulat tugas mendidik secara formal kepada para guru.

Kini, mereka tiada pilihan lain selain turut sama menggembleng tenaga dalam menjayakan pembelajaran dalam talian dan PdPR. Hakikatnya, perubahan baharu sudah tentu menimbulkan permasalahan baharu.

Majoriti negara berdepan dengan ketidaksiagaan dalam pergantungan pembelajaran dalam talian. Ini terutamanya kerana capaian jaringan yang lemah dan tidak melitupi setiap kawasan, terutamanya luar bandar.

Peranan ibu bapa dan kreativiti guru

Malahan, perubahan landskap pendidikan ini hanya menambahkan beban berat yang tersedia dipikul di bahu ibu bapa yang berpendapatan rendah. Pembelajaran dalam talian hanya boleh direalisasi dengan kewujudan jaringan internet yang baik dan peralatan gajet seperti telefon bimbit dan komputer riba.

Kekurangan atau ketidakwujudan kedua-dua elemen dalam kehidupan mereka menyebabkan PdP anak-anak terbantut, bahkan mungkin terpaksa ditangguhkan seketika.

PdPR telah pun mencipta peranan ibu bapa terhadap landskap pendidikan norma baharu. Walaupun wujudnya permasalahan seperti komitmen atau tohmahan segelintir ibu bapa kepada para guru, namun ia tetap tidak mampu menafikan peranan ibu bapa dalam perubahan ini.

Ibu bapa kini bertindak sebagai guru kedua anak-anak. Mereka membantu memastikan PdPR berjalan dengan lancar apatah lagi untuk anak-anak yang masih kecil. Bagi guru pula, mereka kini perlu bereksperimentasi dengan pelbagai jenis gaya PdP, dan terpaksa berfikir di luar kotak dan bidang mereka.

Hakikatnya, sudah tentu wujud kekurangan dalam landskap pendidikan baharu ini. Namun, sekiranya semua pihak saling berpadu tangan dan tidak menunding jari, tidak mustahil norma baharu ini akan menjadi norma yang paling baik.

Para cendekiawan, golongan professional dan badan-badan berautoriti perlulah sentiasa memerah minda dalam memikirkan solusi yang baik, agar para pelajar tetap tidak tercicir daripada pembelajaran mereka.