Panduan sambut Aidilfitri sewaktu normal baharu

Kehidupan Abi Aasim 24-Mei-2020
Tradisi kunjung mengunjung tidak lagi seperti dulu © MOHD AZAMI SARJU | Dreamstime.com

Seperti yang telah diketahui oleh rakyat Malaysia, sambutan Aildilfitri tahun 2020 ini perlu disambut dalam suasana normal baharu. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac yang kini telah ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Langkah-langkah yang diambil ini adalah bertujuan untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan garis panduan khas bagi rakyat Malaysia menyambut Aildilfitri kali ini.

  • Tiada pergerakan merentas negeri dibenarkan. Hanya pergerakan merentas daerah sahaja dibenarkan. Rakyat Malaysia juga tidak dibenarkan bermalam sewaktu ziarah hari raya
  • Ziarah hari raya hanya dibenarkan pada hari raya pertama sahaja dan untuk keluarga terdekat. Ziarah hari raya tidak boleh melebihi maksimum 20 orang sehari, mengikut keluasan rumah
  • Perlu mengelakkan 3S (Sempit, sesak dan sembang secara dekat)
  • Tidak melakukan aktiviti bersentuhan dan bersalaman
  • Tidak berkongsi bekas makanan dan minuman
  • Jaga penjarakan sosial (sekurang-kurangnya satu meter)
  • Tuan rumah perlu menyediakan sabun atau sanitasi tangan
  • Pelawat perlu memakai topeng muka
  • Elakkan ziarah rumah yang mempunyai warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik

Selain itu pada hari raya tahun ini, elakkan juga melakukan aktiviti tradisi yang lazim dilakukan sebelum ini seperti:

  • Aktiviti kunjung mengunjung
  • Menziarahi kubur
  • Bersalaman dan mencium tangan ahli keluarga yang lebih tua
  • Berpelukan (biasa dilakukan jantina yang sama setelah lama tak berjumpa)
  • Cium dan berlaga pipi (biasa dilakukan kaum wanita)
  • Berkumpul beramai-ramai sambil bersembang di dalam jarak yang dekat
  • Berhimpit-himpit di dalam kenderaan
  • Berkongsi bekas makanan dan minuman

Pastinya agak janggal apabila sambutan hari raya tahun ini tidak boleh disambut seperti sediakala. Namun ada baiknya sebagai rakyat Malaysia kita mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan. Sama ada seseorang negatif COVID-19, bergejala atau paling bahaya yang tanpa gejala, kita haruslah bersama-sama membantu mengurangkan penularan COVID-19.

Perlu diingat bahawa banyak golongan khususnya warga emas, individu berpenyakit kronik dan kanak-kanak, mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19. Buat masa ini usahlah kita ikut kata pepatah, biar mati anak, jangan mati adat. Sebaliknya sebagai seorang Muslim, memelihara nyawa itu adalah sesuatu yang lebih dituntut.